Jambatan Bengkok: Eskay Tidak Berhak Terima RM20 Juta - Mahkamah

Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 6:54 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa memutuskan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tidak berhak menerima bayaran komisyen RM20 juta daripada Merong Mahawangsa Sdn Bhd untuk khidmatnya mendapatkan projek 'Jambatan Bengkok' di Johor Bahru.

Panel lima anggota dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara membenarkan rayuan oleh syarikat pemaju, Merong Mahawangsa dan Pengarah Eksekutifnya Datuk Yahya Abdul Jalil serta memutuskan bahawa kontrak yang melibatkan perbuatan menjaja pengaruh adalah tidak sah dan bercanggaah dengan dasar awam.

Panel itu juga memerintahkan Eskay membayar kos RM100,000 kepada dua perayu, Merong Mahawangsa dan Yahya.

Mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membayar bayaran komisyen RM20 juta kepada Eskay kerana khidmat yang beliau sumbangkan.

Panel itu turut dianggotai Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang kini Peguam Negara, dan Tan Sri Abu Samah Nordin.

Mohamed Apandi menganggotai panel berkenaan ketika pendengaran rayuan itu (sebelum dilantik menjadi Peguam Negara). Mohamed Apandi tidak hadir hari ini dan menurut Melanjum, Mohamed Apandi telah membaca deraf penghakiman itu.

Pada 5 Mei 2011, Mahkamah Tinggi menolak saman sivil Eskay terhadap Merong Mahawangsa dan Yahya yang dikatakan melanggar kontrak setelah beliau (Eskay) tidak berhak menuntut bayaran itu kerana projek berkenaan dibatalkan.

Projek Gerbang Antarabangsa Malaysia-Singapura itu (dikenali sebagai Jambatan Bengkok) bagi menggantikan Tambak Johor, dibatalkan kerajaan pada 12 April 2006, walaupun kerja awalnya telah dimulakan.

Kerajaan membayar ganti rugi RM155 juta kepada Merong Mahawangsa berikutan pembatalan projek itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan Tan, mahkamah mendapati bahawa mengikut Seksyen 24 Akta Kontrak Malaysia 1950, adalah bercanggah dengan dasar awam Malaysia seseorang itu diambil berkhidmat dengan diberi wang atau pertimbangan berharga, untuk menggunakan kedudukan dan kepentingannya bagi memperoleh manfaat daripada kerajaan kerana perbuatan menjaja pengaruh boleh mengakibatkan perbuatan rasuah dan melemahkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, yang seterusnya boleh memudaratkan kepentingan awam.

Tan berkata komisyen RM20 juta itu adalah sebagai bayaran bagi khidmat Eskay untuk mendapatkan projek berkenaan dan beliau (Eskay) mengaku yang beliau 'menggunakan' pengaruh serta hubungan baiknya dengan kerajaan untuk mendapatkan projek jambatan asal itu untuk manfaat dan kepentingan Merong Mahawangsa.

Tan berkata, dalam kenyataan saksinya, Eskay menegaskan tentang fakta itu dan malah memberi butiran terperinci tentang pengaruhnya serta cara beliau menggunakan pengaruhnya dan meyakinkan para menteri persekutuan berkenaan.

"Suatu perjanjian, yang inti patinya ialah menggunakan pengaruh terhadap para menteri kerajaan bagi mendapatkan keputusan yang menguntungkan, boleh merosakkan pentadbiran yang baik dan berwibawa.

Ia menunjukkan wujudnya kecenderungan untuk merasuah atau mempengaruhi penjawat awam supaya membuat keputusan menguntungkan, yang tidak mengikut merit sebenar. Perjanjian seperti ini adalah bercanggah dengan dasar awam. Tidak kisahlah sama ada orang yang hendak dipengaruhi itu tunduk atau tidak kepada syor yang dikemukakan," kata hakim itu.

Beliau berkata berdasarkan fakta serta keadaan yang ada, adalah jelas dan nyata bahawa pertimbangan itu bercanggah dengan undang-undang, manakala surat aku janji antara Merong Mahawangsa dan Eskay juga adalah tidak sah.

"Atas alasan inilah, tuntutan itu (oleh Eskay) perlu ditolak," kata Tan.

Hakim itu berkata apabila projek jambatan berkenaan ditarik balik, yang faktanya tidak dipertikaikan, maka penganugerahannya sudah tidak lagi bermakna.

"Apabila projek jambatan itu ditarik balik, penganugerahan projek jambatan berkenaan secara automatik turut ditarik balik. Dalam hubungan ini, kami bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa apabila projek jambatan itu ditarik balik, maka RM20 juta berkenaan tidak perlu dibayar, tetapi jika sudah dibayar, surat aku janji menyebut bahawa ia perlu dikembalikan," katanya.

Eskay memfailkan saman itu pada 2002 dengan mendakwa bahawa pada 1998, Yahya memohon pertolongannya untuk mendapatkan projek berkenaan daripada kerajaan dan mendapatkan pembiayaan dari luar negara untuk projek berharga RM640 juta itu.

Ketika membela dirinya, Yahya menafikan beliau menggunakan hubungan baik Eskay dengan kerajaan kerana perbuatan seperti itu "bercanggah dengan dasar awam dan melanggar undang-undang."

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Merong Mahawangsa dan  Yahya, manakala Eskay diwakili peguam Datuk C.V. Prabhakaran.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan