Penjara 10 Hari Akibat Rakam Gambar Dari Bawah Skirt Gadis

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2015 6:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara merakam gambar dari bawah skirt seorang gadis yang sedang menaiki eskalator, seorang ejen hartanah pada Selasa dipenjara 10 hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret, Nur A'minahtul Mardhiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Long Jhow Weh, 29, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengaibkan kehormatan dengan merakam gambar dan video dari bahagian bawah skirt seorang penuntut universiti swasta berusia 21 tahun itu, dengan menggunakan telefon bimbitnya pada Sabtu lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tangga eskalator Tingkat 1 menuju ke Tingkat 2, pusat beli belah Midvalley di sini pada 6.10 petang, 8 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula Selasa, dan mengarahkan dia dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, mangsa dimaklumkan oleh rakan lelakinya mengenai perbuatan tertuduh setelah menyedari dia merakam gambar dari bawah skirt mangsa dengan menggunakan telefon bimbitnya.

Long, yang ditangkap oleh orang awam dan pengawal keselamatan, memohon maaf kepada gadis itu di atas perbuatannya.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas telefon bimbit tertuduh mendapati gambar wanita lain yang turut dirakamnya selain gambar mangsa.

Ketika rayuan, peguam Lim Cheong Kiat yang mewakili Long, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan dia juga menyesal dengan perbuatannya itu. 

"Anak guam saya juga memohon maaf kepada mangsa dan berjanji tidak mengulangi perbuatan yang dilakukan serta akan mendapatkan khidmat kaunseling bagi mengatasi masalah psikologi yang dihadapinya," kata beliau.

Ketika ditanya Nur A'minahtul mengapa dia melakukan perbuatan itu, Long berkata dia mengalami masalah psikologi.

"Saya menyesal dan memohon maaf atas perbuatan yang dilakukan serta berharap diberi peluang untuk berubah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda dengan mengambil kira tindakan tertuduh yang menjatuhkan maruah mangsa. 

"Mahkamah perlu tegas dalam menjatuhkan hukuman supaya maruah seorang wanita dihormati oleh orang lain," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan