Kerabat Diraja Kelantan Mengaku Tidak Bersalah Palsukan Dokumen Anugerah 'Dato'

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 4:12 PM

Tengku Mohd Ariffin Tengku Ibrahim dihadap ke mahkamah atas tuduhan memalsukan dokumen iaitu surat watikah perakuan dan pengesahan Datuk Kerabat serta kad kuasa keahlian pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan di Mahkamah Sesyen 3, Khamis.


(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Seorang kerabat diraja negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap lapan pertuduhan memalsukan dokumen Surat Perakuan dan Pengesahan Dato' Kerabat dan Kad Kuasa Keahlian Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan di bawah naungan Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan untuk 11 ahli perniagaan.

Tengku Mohd Ariffin Tengku Ibrahim, 62, dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di hadapan Kedai Perabot Wan Jati, Jalan Raja Perempuan Zainab II, Padang Demit, Kubang Kerian di sini kira-kira 6 petang antara 1 April 2014 dan 18 Februari 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Dalina Ali memohon kepada mahkamah supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama-sama dua lagi individu yang menghadapi lapan pertuduhan menipu kononnya boleh  mendapatkan anugerah Dato Kerabat Diraja Kelantan.

Nor Dalina memberitahu mahkamah bahawa kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 26 hingga 29 Okt depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Tengku Mohd Ariffin.

Hakim Mohd Yusoff membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Pada Selasa lepas, seorang lelaki bergelar "Datuk Seri" dan seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap lapan pertuduhan menipu kononnya boleh mendapatkan anugerah Dato Kerabat Diraja Kelantan berjumlah lebih RM700,000.

Saharuddin Awang Yahya, 60, dan Norzihan Zainal Abidin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.-- Bernama 


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan