Bunuh Pegawai Ambank: Mahkamah Rayuan Kekal Hukuman Mati

Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 6:41 PM

La Ode Ardi Rasila (kanan) yang ditahan pada 10 November di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor ketika didakwa di Makhamah Seksyen Petaling Jaya pada November 2013. Dalam kejadian pada 23 Oktober 2013, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pengawal keselamatan warga Indonesia kerana membunuh pegawai Ambank Norazita Abu Talib, dua tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan La Ode Ardi Rasila terhadap sabitan dan hukuman mati.

Aziah berkata mahkamah mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi bahawa La Ode, 38, adalah bersalah melakukan kesalahan itu.

"Sabitannya adalah betul. Sabitan dan hukuman mati dikekalkan," katanya.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman mati bagi pertuduhan kedua iaitu melepaskan tembakan menggunakan pump gun ketika melakukan rompakan di bank itu dengan niat untuk menyebabkan kematian Norazita.

Dua lagi hakim yang bersidang Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Rahman Sebli.


Pada 8 Ogos 2014, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap La Ode selepas mendapati dia bersalah bagi dua pertuduhan yang dilakukannya di premis cawangan Ambank Subang Jaya, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, antara 6 petang dan 6.30 petang pada 23 Oktober 2013.

Berdasarkan fakta kes, Norazita, 37, dan seorang lagi pegawai bank sedang memindahkan wang tunai daripada peti besi ke dalam tempat simpanan wang di dalam bilik kebal apabila La Ode, yang ketika itu menggantikan pengawal keselamatan lain yang bercuti sakit, melepaskan tembakan dan mengenai muka Norazita, menyebabkan beliau rebah.

La Ode kemudian menolak pegawai bank itu keluar dari kawasan simpanan wang  dan memasukkan wang RM450,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri.

Siasatan polis menunjukkan sebahagian wang itu ditemukan daripada seorang lagi pengawal keselamatan warga Indonesia yang mengesahkan La Ode memberinya wang tersebut.

La Ode kemudiannya ditahan di Johor dan polis menemukan pump gun itu di dalam longkang di Subang Jaya.

La Ode masih mempunyai satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Dia diwakili peguam S. Selvi manakala Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mewakili pendakwaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan