Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Didakwa Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2015 12:13 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan didakwa berhubung kes rasuah selepas meluluskan dua projek kerajaan kepada syarikat milik anak lelakinya.

S Tselvin mohon dibicarakan atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Wanita berusia 58 tahun ini didakwa melakukan kesalahan pertama antara 13 Oktober dan 15 Oktober di Jabatan Kejururawatan Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia menyalahgunakan kedudukannya apabila memilih Fort Mark Sdn Bhd untuk mengendalikan kerja-kerja menaiktaraf portal kejururawatan kementerian itu bernilai RM12,300.

Syarikat itu didakwa tidak wujud semasa kontrak berkenaan diluluskan.

Mengikut dokumen itu, pengarah syarikat itu adalah anak lelaki Tselvin.

Tselvin dituduh melakukan kesalahan kedua pada 7 Mei tahun ini di tempat sama apabila memilih syarikat terbabit untuk mengendalikan kontrak bernilai RM2,000 sebagai persiapan untuk montaj video bagi sambutan Hari Jururawat Antarabangsa.

Jika didapati bersalah, Tselvin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda jumlah habuan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya Lokman Kassim mengendalikan kes berkenaan.

Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan jaminan RM10,000 dan 28 Ogos untuk prosiding kes itu.

Tags / Kata Kunci: Kementerian Kesihatan , S Tselvin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan