Saya Tak Akan Tembak Jika Tahu Pemandu Iswara Seorang Budak - Saksi

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 8:49 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: "Saya tidak akan lepaskan tembakan jika mengetahui pemandu kereta Iswara Putih ialah seorang budak," kata seorang anggota polis pada perbicaraan kes saman keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut ditembak di kepala kira-kira lima tahun lepas.

Konstabel Tambahan Mohd Izham Mahayadin, 31, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau juga tidak akan melepaskan tembakan jika mengetahui bahawa kereta itu dipandu oleh Aminulrasyid, 15.

Mohd Izham yang bertugas di cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Zulkifly Omar yang mewakili defendan pertama dalam kes saman itu, Koperal Jenain Subi.

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid, akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskan dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa anggota polis itu tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya.

Dalam pernyataan saksinya, Mohd Izham berkata pada hari kejadian, ketika di Persiaran Dato' Menteri, kereta peronda yang dinaikinya telah dipintas oleh kereta dipandu Aminulrasyid dalam keadaan laju serta mencurigakan dan beliau turut dimaklumkan oleh pemandu kereta peronda, Koperal Azhar Hashim bahawa kereta Iswara tersebut telah melanggar lampu isyarat merah.

"Koperal Azhar terus mengejar kenderaan tersebut dengan membuka beacon light (suar) dan membunyikan siren dan saya telah memberikan arahan beberapa kali kepada kenderaan tersebut supaya berhenti di tepi jalan menggunakan mikrofon dalam kereta peronda tersebut, namun kenderaan tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti malahan semakin laju.

"Kereta peronda kami cuba memintas tetapi gagal dan kenderaan itu juga telah beberapa kali menghimpit kereta peronda kami. Saya kemudian telah buat hebahan untuk meminta bantuan daripada kereta peronda berhampiran untuk menahan kenderaan tersebut," katanya.

Mohd Izham yang merupakan saksi empat defendan lain berkata, selepas membuat hebahan kereta peronda mereka masih mengekori kereta dipandu Aminulrasyid sehingga di hadapan Hotel Concorde dan kemudian beliau melihat sebuah lagi kereta peronda dinaiki Jenain turut mengejar kereta remaja berkenaan sehingga memasuki Bulatan Kayangan.

Saksi itu berkata semasa di Bulatan Kayangan beliau telah melepaskan tembakan ke arah tayar kanan belakang kereta Iswara itu dengan niat untuk memberhentikan kenderaan tersebut yang dipandu dengan laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Pada masa itu, cara pemanduan kenderaan tersebut yang agak agresif juga telah menimbulkan rasa syak terhadap pemandu kenderaan tersebut," katanya.

Seterusnya, Mohd Izham berkata apabila kereta peronda dinaikinya memasuki Jalan Tarian 11/2 beliau terdengar beberapa das tembakan dilepaskan dan beliau melihat kereta Iswara itu masih terus bergerak sebelum kemudian naik ke bahu jalan dan melanggar tembok rumah.

"Selepas kereta Iswara itu terbabas, saya dan Koperal Azhar lihat seorang lelaki di belakang kenderaan itu cuba melarikan diri dan Koperal Azhar cuba menangkap lelaki itu namun tidak berjaya.

"Kami cuba mengejarnya tetapi lelaki itu berjaya melarikan diri dan apabila berpatah balik ke tempat kereta Iswara terbabas saya lihat seorang lelaki tidak sedarkan diri tertiarap dengan separuh kakinya terkeluar dari kenderaan itu," katanya.

Ketika disoal balas peguam N.Surendran yang mewakili keluarga Aminulrasyid, anggota polis itu bersetuju bahawa ketika mengejar kereta Iswara berkenaan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada pemandu dan penumpang dalam kenderaan itu telah melakukan jenayah.

Mohd Izham bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Surendran bahawa tindakan beliau menembak kereta Iswara itu kerana syak kononnya pemandu kenderaan itu seorang penjenayah adalah alasan yang tidak boleh diterima.

"Maksudnya kalau rasa syak pada mana-mana kereta membolehkan awak melepaskan tembakan," soal Surendran.

"Bukan syak sahaja tetapi syak disebabkan perbuatan kenderaan itu dan tembakan dilepaskan hanya untuk berhentikan kenderaan," jawab saksi itu.

"Bukankah awak telah diberi latihan tentang bagaimana hendak memberhentikan kereta," soal Surendran.

"Latihan membabitkan pemanduan biasa sahaja bukan membabitkan high pursuit (mengejar dengan hebat) seperti ketika kejadian," jawabnya.

Ketika pemeriksaan semula oleh Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub mengenai perkara yang bermain di fikirannya ketika mengejar kereta dipandu Aminulrasyid, Mohd Izham menjawab ketika itu yang terlintas di fikirannya ialah pemandu kereta Iswara tersebut ialah seorang penjenayah yang baru selesai melakukan jenayah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 14 dan 19 Ogos ini.

Tags / Kata Kunci: tembak , Aminulrasyid

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan