Tunjuk Isyarat Lucah Kepada Polis, Pemandu Lori Didenda

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 4:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori didenda RM100 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu akibat menunjukkan isyarat lucah kepada polis trafik, hanya kerana berang dengan kesesakan jalan raya.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Hor Ching Shiong, 31, selepas dia mengaku bersalah berkelakuan kurang sopan bagi tujuan mengaibkan dan menghina dengan cara menunjukkan isyarat lucah terhadap Christopher Jaban.

Hor melakukan kesalahan itu di lampu isyarat Jalan Ampang di sini, pada pukul 5.30 petang, 3 Julai lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Menurut fakta kes, tertuduh telah menunjukkan isyarat lucah ketika polis trafik itu sedang mengawal lalu lintas di kawasan lampu isyarat yang rosak di jalan berkenaan.

Polis trafik berkenaan telah mengejar dan menangkap tertuduh dan membawa lelaki itu ke Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak lagi bersikap mementingkan diri sendiri dan menghormati tugas polis trafik.

Tags / Kata Kunci: Isyarat Lucah , Polis , Mahkamah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan