Anwar Ibrahim Fail Aduan Qazaf Terhadap Muhammad Shafee

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2015 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memfailkan aduan itu bagi pihak suaminya di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini.

Dr Wan Azizah berkata, aduan qazaf itu dibuat berikutan tindakan Muhammad Shafee yang menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.

"Laporan ini dibuat demi menegakkan keadilan dan hak Anwar yang telah dijadikan mangsa dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan peribadi beliau," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri anaknya Nurul Izzah dan beberapa pimpinan PKR lain.

Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, mendakwa Muhammad Shafee mengeluarkan kenyataan itu dalam program dialog terbuka anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 17 Februari lepas.

Muhammad Shafee merupakan ketua pendakwa raya dalam kes liwat II Anwar.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mendapati Anwar bersalah terhadap tuduhan meliwat Saiful Bukhari pada 2008 dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Dr Wan Azizah berkata Mazhab Imam Syafie berpandangan bahawa kesalahan liwat adalah diqiyaskan termasuk di bawah kategori zina di mana tuduhan terhadap kesalahan liwat tanpa empat orang saksi merupakan satu jenayah qazaf.

"Justeru, demi menegakkan hak dan keadilan serta memartabatkan perundangan syariah di Selangor, kami menggesa agar kenyataan terbuka Muhammad Shafee itu disiasat di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Pihak kami akan memberi kerjasama sekiranya pihak penguatkuasaan JAIS memerlukan maklumat lebih lanjut," katanya.

Sementara itu, peguam Fadhlina Sidek yang mewakili Anwar, berkata pihaknya sebelum ini telah memohon kepada Jabatan Penjara untuk membawa keluar Anwar bagi membolehkan beliau memfailkan sendiri aduan qazaf tetapi permohonan itu ditolak.

Sebaliknya, beliau berkata Jabatan Penjara mencadangkan agar pihak JAIS datang ke penjara dan mengambil laporan daripada Anwar tetapi jabatan agama itu menerusi surat memaklumkan bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian.

"Alternatifnya JAIS meminta kami datang ke sini (Jais) membuat laporan (qazaf) melalui keluarga dan kami turut sertakan sekali afidavit yang ditandatangani oleh Anwar sendiri," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , qazaf , Muhammad Shafee

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan