Palanivel, Tiga Yang Lain Gagal Dapat Penangguhan

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2015 5:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan tiga yang lain pada Khamis gagal mendapatkan penangguhan sementara terhadap keputusan mahkamah yang mengekalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan baharu.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan difailkan keempat-empat mereka bagi penangguhan sementara keputusan itu selepas membenarkan bantahan RoS terhadap penangguhan sementara itu.

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh memberitahu pemberita, mahkamah pada awalnya mentetapkan 10 Julai bagi mendengar permohonan bagi penangguhan sebenar.

Bagaimanapun, katanya keempat-empat mereka telah memohon penangguhan sementara itu sementara menunggu pendengaran bagi penangguhan sebenar.

Katanya berdasarkan kepentingan perkara itu, hakim telah mengawalkan tarikh pendengaran ke 6 Julai.

Pada 19 Jun, Palanivel, dua naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, dan bekas setiausaha agung MIC A. Prakash Rao memfailkan permohonan bagi penangguhan itu sementara menunggu selesainya rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mereka memfailkan rayuan pada 16 Jun.

Pada 15 Jun, Asmabi menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman dan memutuskan RoS hanya memberikan pendapatnya bahawa parti perlu menyelesaikan pertikaiannya, tetapi cadangan bagi mengadakan pemilihan baharu untuk menyelesaikan masalah parti dibuat oleh Palanivel.

Asmabi berkata Palanivel, dalam surat bertarikh 5 Feb 2015, telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah parti dengan mengadakan pemilihan baharu di semua cawangan dan bahagian, termasuk jawatan presiden.

Pada 24 Feb, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan, dan Prakash Rao memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan arahan RoS.

Tags / Kata Kunci: Mahkamah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan