Pelancong Bogel Boleh Dipenjara Tiga Bulan Jika Bersalah - Berita Mahkamah | mStar

Pelancong Bogel Boleh Dipenjara Tiga Bulan Jika Bersalah

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2015 5:31 PM

Empat suspek yang didakwa berbogel di Gunung Kinabalu ditahan reman empat hari.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Empat pelancong asing yang direman selama empat hari kerana didakwa berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu boleh berdepan pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

Peguam berkata perintah reman yang dikeluarkan mahkamah majistret adalah untuk tujuan siasatan dibawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.

Mereka berkata, di bawah seksyen tersebut, empat suspek tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda atau kedua-duanya jika mereka didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah.

Kesemua empat suspek itu yang ditahan di lokap Karamunsing, dibawa ke hadapan Majistret Ranau, Dzul Elmy kira-kira pukul 10.30 pagi Rabu.

Empat yang ditahan itu merupakan dua beradik dari Kanada (seorang lelaki berusia 23 tahun dan adik perempuannya, 22); seorang lelaki warga Belanda berusia 23 tahun dan seorang wanita warga British, 24.

Pasangan adik beradik dari Kanada dan warga Belanda itu menyerah diri di balai polis Karamunsing di sini kira-kira pukul 6 petang Selasa.

Manakala wanita warga British itu pula ditahan di Tawau pada tengah hari Selasa.

Kakitangan Taman-Taman Sabah membuat laporan polis selepas sekeping gambar yang memaparkan 10 pelancong asing berbogel dan membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu menjadi viral.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang menganggap gunung sebagai tempat suci.

Segelintir penduduk meminta pelancong itu dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri di sini.
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan