Ugut Polis Guna Kayu Di Bukit Aman - Berita Mahkamah | mStar

Ugut Polis Guna Kayu Di Bukit Aman

Diterbitkan: Jumaat, 29 Mei 2015 5:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dipenjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengugut seorang anggota polis menggunakan sebatang kayu di Ibu Pejabat Polis (IPP) Bukit Aman.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Nik Mohd Zakiran Nik Mohd Yusoff, 31, dan memerintahkannya dipenjara bermula daripada tarikh dia ditangkap, pada Khamis.

Nik Mohd Zakiran dituduh mendatangkan ketakutan secara jenayah terhadap Mohd Zaidi Hasan, dengan menggunakan kayu berukuran tiga kaki di pintu A, IPP Bukit Aman, Jalan Bukit Aman, Dang Wangi di sini, pukul 8.30 pagi Khamis.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, tertuduh memberitahu Mohd Zaidi bahawa dia mahu berjumpa dengan seorang pegawai polis yang bertugas di Bukit Aman dan ketika Mohd Zaidi cuba menghubungi pegawai polis itu, tertuduh secara tiba-tiba menjatuhkan sebatang kayu daripada pegangannya.

Lelaki itu kemudian berkata akan mengamuk sekiranya tidak dapat berjumpa dengan pegawai polis tersebut sambil menghayunkan batang kayu itu ke arah Mohd Zaidi.

Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarganya, tetapi Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya. 

Tags / Kata Kunci: Bukit Aman , IPP Polis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan