Kelemahan Siasatan, Suami Eksekutif TV9 Dibebaskan Kerana Membunuh

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2015 4:48 PM

Mahkamah membebaskan Norazman Bashah (kiri) daripada tuduhan membunuh isterinya yang merupakan eksekutif TV9.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kelemahan siasatan dan kegagalan pakar perubatan forensik mengesahkan sama ada eksekutif pentadbiran TV9 Nur Syaleza Jaffar dijerut sampai mati atau menggantung dirinya adalah faktor utama yang membawa kepada pembebasan suami wanita itu daripada tuduhan membunuhnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman berkata dalam kes yang bergantung kepada keterangan mengikut keadaan, keterangan Pakar Forensik Patalogi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor adalah amat penting dalam mencari punca sebenar kematian Nur Syaleza.

 "Dalam keterangannya, SP6 (saksi keenam pendakwaan) (Dr Shahidan) sebagai doktor pakar sendiri tidak dapat kemuka dengan jelas sama ada mangsa gantung diri atau dijerut sampai mati. Sebagai doktor pakar berpengalaman luas, keterangan beliau amat diharapkan dapat membantu mahkamah namun beliau sendiri hadapi kesukaran dalam mencari jawapan dan kesemua keterangannya berakhir dengan 'kemungkinan' serta 'boleh diterima pakai'.

"Oleh itu, dalam keadaan seperti itu di mana pelbagai kemungkinan boleh diberikan, undang-undang menetapkan bahawa inferens yang memihak kepada tertuduh hendaklah diterima," katanya ketika membacakan penghakiman bertulis sepanjang tempoh sejam setengah.

Abdul Halim memutuskan untuk melepas dan membebaskan suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, daripada tuduhan membunuh wanita itu selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.

Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seterusnya, Abdul Halim berkata kekuatan kes juga bergantung kepada siasatan dan bagi kes itu, beliau mendapati siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat serta pihak forensik tidak terperinci, tidak meluas serta terdapat kelemahan.

"Dalam kes ini, pihak polis forensik antaranya gagal siasat kewujudan bangku kecil yang patah di tempat kejadian. Apakah kaitannya dengan insiden, bagaimana ia patah dan adakah ia digunakan sebagai senjata untuk serang mangsa atau adakah bangku itu digunakan untuk mangsa berdiri ketika gantung diri tidak disiasat.

"Selain itu, pegawai penyiasat gagal siasat isu kemurungan mangsa seperti menemu bual keluarga dan rakan-rakan rapat mangsa.

 "Oleh kerana isu kemurungan disebar meluas di media mengenai status terakhir telefon blackberry milik mangsa tertulis "sabarlah duhai hati", kegagalan menyiasat perkara itu menimbulkan persoalan walaupun pihak polis telah merampas telefon bimbit itu selain gagal menyiasat kandungan telefon bimbit mangsa," katanya.

Selain siasatan, Abdul Halim berkata pembuktian motif pembunuhan juga amat penting dalam kes yang bergantung kepada keterangan ikut keadaan.

Dalam kes ini, katanya, Norazman Bashah bukan suami yang baik serta mengakui berlaku curang terhadap Nur Syaleza, malah keterangan menunjukkan mereka sering bergaduh dan perubahan sikap wanita itu berpunca daripada kecurangan suaminya itu.

"Bagaimanapun motif membunuh tidak dibuktikan (dalam kes ini) dan tiada keterangan dikemukakan untuk membawa kepada motif yang memungkinkan untuk sabitkan tertuduh. Pihak pendakwaan mendakwa hubungan sulit tertuduh dengan wanita bernama Haslinda adalah motif kepada pembunuhan Nur Syaleza.

"Sungguhpun kewujudan Haslinda dijadikan motif untuk membunuh, perlu diingat hubungan sulit berlaku telah lama iaitu sekitar 2009, dua tahun sebelum kejadian.

"Tiada keterangan juga ditampilkan untuk menunjukkan tertuduh masih berhubung dengan Haslinda semasa kejadian. Oleh itu, ia gagal menjurus kepada motif pembunuhan disebabkan kewujudan Haslinda dan berdasarkan keterangan, tidak dapat dilihat apakan faedah diperoleh tertuduh dengan membunuh mangsa," katanya.

Menyifatkan kes ini amat pilu dan menyedihkan, Abdul Halim berkata kecurangan Norazman Bashah telah meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga yang dibina pada 26 Okt 2008 atas dasar cinta dan perkara ini diakui oleh lelaki itu sendiri.

Hakim itu berkata sepanjang perkahwinan dengan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nur Syaleza tetap bersabar dan memendam perasaan malah membantu suaminya dalam kewangan berikutan pendapatan Norazman Bashah berjumlah RM3,000 sebulan tidak mencukupi.

"Nur Syaleza sanggup berkorban masa, wang ringgit semata-mata kasih terhadap suami. Bagaimanapun, kesabaran yang dipertahankan selama ini, kasih yang dipupuk, kesetiaan dan ketaatan dicurahkan wanita ini ibarat 'panas diharap sampai ke petang tetapi hujan di tengah hari'.

"Dugaan mangsa sangat berat akibat perbuatan suaminya... isteri mana yang tidak remuk hati dan perasaan akibat kecurangan suami dan faktor kemurungan ini adalah punca mangsa membunuh diri.

"Apapun, nasi sudah jadi bubur, penyesalan oleh tertuduh jika ada tidak dapat kembalikan nyawa mangsa... tertuduh telah musnahkan segalanya sehingga kesabaran isterinya tidak dapat dibendung sehingga membawa kepada kemurungan yang tidak boleh dibendung lagi. Justeru itu, jalan pintas diambil (dengan membunuh diri)," katanya.

Sebanyak 24 saksi pendakwaan, seorang saksi pembelaan dan 63 barang kes dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar dan T Deepa Nair manakala Norazman Bashah diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

Rosidah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan. 

Tags / Kata Kunci: TV9 , Bunuh , Mahkamah

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan