Sijil Kematian: JPN Tidak Pernah Tolak Permohonan Lima Anak Sosilawati

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2015 8:33 PM

Erni Dekritawati Yuliana Bukhari

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa diberitahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah menolak permohonan lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya untuk mendapatkan sijil kematian ibu mereka, yang mati dibunuh di Banting, Selangor, pada 2010.

Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari yang mewakili JPN dalam hujahannya berkata permohonan lima anak jutawan itu supaya sijil kematian ibu mereka dikeluarkan oleh JPN hanya akan dipertimbangkan selepas rayuan kes bunuh Sosilawati diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Berdasarkan surat yang dihantar JPN kepada keluarga Sosilawati pada 25 Julai 2014, menyatakan bahawa pihak JPN hanya akan mempertimbangkan permohonan itu selepas keputusan rayuan dan bukannya terus menolak permohonan berkenaan,"katanya ketika pendengaran semakan kehakiman lima anak jutawan kosmetik terhadap JPN di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.

Maisarah berkata pendengaran rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 10 Ogos depan. Selain itu, Maisarah berhujah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, menyatakan bahawa seseorang itu disahkan meninggal dunia selepas tiada khabar berita selepas tujuh tahun.

"Dalam kes ini, mangsa (Sosilawati) dibunuh pada 30 Ogos 2010 dan sudah pasti ia belum menjangkau tujuh tahun," katanya.

Sementara itu peguam Mohd Iskandar Ismail yang mewakili anak-anak Allahyarham Sosilawati berhujah JPN melakukan kekhilafan dengan membuat keputusan menolak permohonan untuk tidak mengeluarkan sijil kematian ibu mereka.

Peguam itu berkata, oleh kerana sijil kematian itu tidak dapat dikeluarkan oleh JPN, kehidupan anak-anak Sosilawati tidak dapat diteruskan seperti biasa dan segala urusan tertangguh termasuk urusan syarikat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Julai depan untuk keputusan sama ada kelima-lima anak Allahyarham Sosilawati boleh mendapatkan sijil kematian untuk ibu mereka ataupun tidak.

Pada 24 Sept 2014, anak-anak jutawan itu -- Erwan Suwari Rizuwan Buhari,29, Md Erwan Nasri, 28, Erni Erinawati Sofia, 26, Erni Rineelawati, 25, dan Siti Nur Fatimah, 18, memfailkan permohonan dengan menamakan JPN sebagai responden tunggal.

Mereka antara lain, memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan JPN pada 25 Julai 2014, yang tidak mengeluarkan sijil kematian ibu mereka.

Dalam surat mereka kepada JPN, lima beradik itu menyatakan bahawa mereka memerlukan sijil kematian untuk membolehkan mereka mengagihkan harta arwah ibu mereka kepada waris-warisnya.

Erwan Suwari Rizuwan, dalam afidavit sokongannya mendakwa bahawa JPN dalam penjelasan lisannya berkata sijil kematian tidak dapat dikeluarkan untuk Sosilawati kerana tiada jasad yang ditemui dan seperti yang diperuntukkan di bawah Sekyen 18, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, jika tiada jasad ditemui, seseorang itu akan dianggap hilang.

Beliau menyatakan bahawa disebabkan itu JPN berkata Seksyen 108 Akta Keterangan boleh digunakan jika seseorang itu tidak dapat ditemui atau dihubungi selepas tujuh tahun atau dia akan dianggap mati dan satu pengisytiharan kematian boleh dibuat.   

JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 kepada keluarga Sosilawati menyatakan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan selepas pelupusan kes rayuan itu oleh keempat-empat yang dituduh dalam perbicaraan kes pembunuhannya oleh Mahkamah Rayuan.   

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang - T.Thilaiyalagan,R. Matan dan R. Kathavarayan - selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.   

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang,Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Tags / Kata Kunci: sijil kematian , sosilawati

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan