Syarikat Didenda RM10,000 Kesalahan Ikut Akta Kawalan Harga

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2015 11:37 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Happy Home Superstore Sdn Bhd di Pasir Puteh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis atas kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengurus kawasan syarikat itu, Mohd Faizal Shafien, 27, yang hadir mewakili syarikat berkenaan, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa gagal mematuhi arahan penolong pengawal harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui notis yang dikeluarkan menurut Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Berdasarkan notis itu, syarikat terbabit dikehendaki melengkapkan maklumat dan mengemukakan dokumen yang diminta dalam tempoh tiga hari bekerja bermula 30 Mac 2015 berkaitan kenaikan harga jualan bekas air berkapasiti 5 kg.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum menurut Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000, jika sabit kesalahan.

Ketika memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman yang memberi pengajaran kepada syarikat berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya KPDNKK Mohd Firdaus Abu Hanipah berkata hukuman itu juga sebagai maklumat kepada peniaga lain agar lebih berhati-hati dalam memastikan harga yang dipamerkan dan tidak mengaut keuntungan berlebihan.

Syarikat itu membayar denda.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan