Mahkamah Tinggi Tolak Saman Peniaga Terhadap KPN

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 11:00 PM

Aleyasak Hamid (tengah) bersama peguamnya Latheefa Koya dan isterinya Maryam Jameela Megat Mohd Yusof di luar Mahkamah Tinggi, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak saman peniaga yang menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain kerana mendakwa dikasari sehingga cedera semasa berada di perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), lapan tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan menolak tuntutan saman Aleyasak Hamid@Hassan, 39, selaku plaintif, tanpa kos.

Menerusi saman tersebut Aleyasak mendakwa beliau diserang dari belakang oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Dalam penghakimannya, Azizul Azmi berkata plaintif jujur dalam keterangannya namun apa yang mungkin berlaku adalah plaintif diserang oleh anggota polis lain yang beliau sangkakan FRU.

Tambahnya, Aleyasak juga tidak dapat mengecam anggota polis yang beliau katakan melakukan serang sentuh terhadapnya.

Azizul Azmi berkata mengikut keterangan Pegawai Pemerintah Medan, anggota FRU Nasaruddin Zahari terdapat juga pasukan polis lain termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) yang bertugas di Dataran Merdeka semasa perhimpunan itu.

"Nasaruddin juga memberi keterangan mengenai pakaian seragam dan peralatan iaitu pakaian medan, perisai dan topi keledar, sama seperti pasukan FRU, bezanya cuma FRU mempunyai nombor unit di topi. Orang awam mungkin tidak dapat membezakan antara FRU dan LSF," katanya.

Azizul Azmi berkata keputusannya juga adalah berdasarkan kepada pernyataan tuntutan plaintif yang mendakwa serangan itu dilakukan FRU malah tiada sebarang pindaan dibuat oleh peguam yang mewakilinya.

"Dalam keadaan ini adalah tidak wajar bagi mahkamah untuk memberi penghakiman berpihak kepada plaintif kerana Peguam Kanan Persekutuan tidak berpeluang sama sekali untuk mengemukakan keterangan lanjut mengenai anggota LSF yang berada di perhimpunan Bersih tersebut.

"Saya berpendapat pernyataan tuntutan plaintif telah menyebabkan defendan menyangka ia (tuntutan plaintif) hanya melibatkan anggota FRU. Oleh yang demikian, ia tidak adil sama sekali jika mahkamah memberi penghakiman kepada plaintif tanpa memberi peluang kepada defendan untuk memberi keterangan balas dalam hal ini," katanya.

Katanya, walaupun peguam Latheefa Koya yang mewakili plaintif, berhujah bahawa penyata tuntutan telah menyatakan secara am bahawa orang yang melakukan serang sentuh itu adalah anggota polis tetapi kebanyakan perenggan dalam tuntutan itu merujuk secara khusus kepada FRU.

Pada 17 Ogos 2010, Aleyasak memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas, faedah, kos dan relif yang difikirkan wajar.

Selain KPN, plaintif turut menamakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Dang Wangi dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, pada 10 Nov 2007, Aleyasak mendakwa dia berada di perhimpunan Bersih di Jalan Tun Perak berdekatan Dataran Merdeka.

Beliau mendakwa semasa perhimpunan itu berlangsung, persekitaran berada dalam keadaan tenang walaupun ada laungan protes tetapi keadaan mula berubah apabila FRU secara tiba-tiba meluru ke arah orang awam yang berhimpun menyebabkan plaintif terjatuh akibat diserang dari belakang oleh FRU ketika sedang beredar dari tempat perhimpunan.

Plaintif mendakwa beliau dipijak dan disepak berkali-kali di bahagian lutut dan rusuk kanan oleh anggota FRU hingga patah kaki kiri, luka, lebam dan bengkak besar di bahagian lutut kiri.

Tags / Kata Kunci: KPN

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan