Mahkamah Persekutuan Serah Kes Peguam Korporat Kepada Mahkamah Rayuan - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah Persekutuan Serah Kes Peguam Korporat Kepada Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 6:49 PM

E. Sreesanthan.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menyerahkan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan peguam korporat Datuk E. Sreesanthan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semua pertuduhan yang dihadapinya membabitkan urus niaga dalaman tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar membuat keputusan itu dengan persetujuan peguam Datuk Dr Cyrus Das mewakili Sreesanthan dan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti Ahmad Fairoz Zainol Abidin.

Hakim Suriyadi menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah Rayuan untuk mendengar merit rayuan berkenaan.

Perkara itu dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan pada Selasa untuk sebutan bagi menentukan statusnya.

Sreesanthan, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 November 2013 yang menolak permohonan untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Beliau berdepan tujuh pertuduhan berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham dalam Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

Sreesanthan didakwa menggunakan maklumat tentang pemerolehan, penswastaan dan urusan penstrukturan semula korporat syarikat itu yang dimilikinya antara 2006 dan 2008 untuk memperoleh saham berkenaan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Bhd di Bukit Kewangan di sini antara 9 Oktober 2006, dan 18 September 2008.

Sreesanthan berdepan denda minimum RM1 juta dan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun bagi setiap kesalahan mengikut Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, jika disabitkan kesalahan.

Pada 19 September 2012, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar perbagai persoalan undang-undang mengenai isu perlembagaan mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dalam usaha agar mahkamah menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Sreesanthan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, yang pada tahun lepas, memindahkan kes itu kepada Mahkamah Persekutuan dengan persetujuan pihak-pihak terbabit, memandangkan mahkamah itu berpendapat bahawa Mahkamah Persekutuan, sebagai mahkamah tertinggi, perlu membuat keputusan berkaitan perkara itu yang melibatkan persoalan berkaitan perlembagaan.

Bagaimanapun, dalam dua keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini membabitkan kes Gan Boon Aun dan R. Yuneswaran, Mahkamah Persekutuan memutuskan perkara itu perlu dibawa kepadanya (Mahkamah Persekutuan) menerusi rayuan daripada Mahkamah Rayuan.



Tags / Kata Kunci: kes rayuan , peguam korporat , E. Sreesanthan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan