Hakim Tarik Diri Dengar Kes Bafia Rafizi

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2015 9:04 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Hakim Mahkamah Sesyen di sini Rozina Ayob pada Jumaat menarik diri daripada mendengar kes Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Rozina membuat keputusan itu selepas menyedari beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan saksi utama kes berkenaan iaitu Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

"Perkara ini saya sedari selepas melihat senarai saksi di mana beliau (Mohamad Salleh) berada dalam senarai saksi ke-13. Walaupun tiada permohonan (untuk saya menarik diri) daripada kedua-dua pihak tetapi lebih elok saya menarik diri untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Sehubungan itu, Rozina berkata semua prosiding permohonan akan ditangguhkan sehingga hakim baharu mengambil alih kes ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa mahkamah akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan hakim yang akan menggantikan beliau dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula.

Ini merupakan kali kedua Rozina menarik diri daripada mendengar kes  membabitkan pemimpin PKR.

Pada 29 Mei 2013, beliau menarik diri daripada mendengar kes Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perhimpunan program 'Blackout 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, atas alasan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Haziq Dhiyauddin Razali memaklumkan beliau telah menghubungi bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara berhubung hasrat Rozina itu.

"Pihak kami tiada halangan untuk Rozina meneruskan pendengaran kes," katanya.

Peguam N.Surendran yang mewakili Mohd Rafizi berkata pihak pembelaan juga tiada bantahan untuk Rozina meneruskan pendengaran kes ini.

Bagaimanapun, Rozina berkata meskipun beliau boleh melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil, tetapi memandangkan terdapat saksi utama yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bapanya, adalah lebih baik beliau menarik diri.

Surendran sebelum itu memohon penjelasan daripada Rozina berhubung kenyataan media oleh NFC pada 5 Mei lepas yang mahukan hakim itu menarik diri daripada mendengar kes ini.

"Saya baca dalam Malaysiakini dan kenyataan itu ditujukan terus kepada hakim," katanya.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan Mohd Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tiga persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bersama kerani bank, Johari Mohamad.

Antara persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk Mohd Rafizi dan Johari di Mahkamah Tinggi ialah sama ada dakwaan terhadap mereka boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan dan sama ada dakwaan di bawah BAFIA itu tidak berperlembagaan memandangkan unsur niat tidak dinyatakan sebagai elemen bagi kesalahan di bawah akta itu.

Mohd Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat  and  Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Beliau didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Tags / Kata Kunci: Rafizi Ramli , Bafia , NFC

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan