Kes Yazid: Membaca Buku Bersifat Radikal Bukan Kesalahan - Saksi

Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 12:07 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa membaca buku yang bersifat radikal tidak menjadi satu kesalahan kepada individu yang membacanya.

Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Kamaruddin Salleh berkata bagaimanapun kesan pembacaan bahan seperti itu adalah bergantung kepada asas pemikiran dan kemahiran menafsir individu itu sendiri.

"Dalam sesetengah keadaan, konteks seseorang menerima sesuatu bergantung kepada individu itu sendiri. Tidak salah untuk membaca tetapi perlu memahami dasar dan mempunyai kefahaman dalam agama," katanya semasa pemeriksaan balas peguam Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan Yazid Sufaat, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.

Yazid, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Pada Selasa, Kamarudin dalam keterangannya memberitahu beliau diminta membaca dan menilai lima buku termasuk 'Perang Akhir Zaman' oleh seorang pegawai penyiasat yang dikenali sebagai Inspektor S.Manivanan daripada perspektif pemikiran Islam.

Empat lagi buku yang diberi kepadanya untuk dinilai ialah 'Memusuhi Penguasa Murtad'; 'Dunia Tanpa Suami siri 2'; 'Perjalanan Cinta Isteri Seorang Mujahid' dan kamus Al-Kautsar iaitu terjemahan Bahasa Arab - Bahasa Melayu.

Kamarudin, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau hanya diminta secara lisan oleh Manivanan untuk membaca dan menilai lima buku, tanpa dimaklumkan daripada mana buku itu diperolehi.

"Permintaan (untuk baca dan nilai buku itu) hanya secara lisan dan tiada permintaan bertulis," katanya yang mengenali Manivanan dalam satu majlis sebulan sebelum menerima buku tersebut pada 15 Julai 2013, di pejabatnya.

Ketika ditanya Amer Hamzah sama ada pernah melihat kelima-lima buku tersebut, Kamarudin memaklumkan beliau tidak pernah melihat buku itu tetapi biasa nampak kamus Al-Kautsar.

Kamarudin, yang telah berkhidmat sebagai pensyarah hampir 22 tahun turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak dibantu oleh rakan atau pensyarah lain dalam membuat laporan mengenai kelima-lima buku itu dan tidak pernah menunjukkan buku itu kepada individu lain.

Beliau yang mengambil masa dua bulan untuk menyediakan laporan berhubung penilaian kelima-lima buku itu memaklumkan tidak pernah membuat kaji selidik terhadap orang awam untuk mendapatkan pandangan tentang buku tersebut.

"Laporan ini hanya berdasarkan pendapat saya sendiri," katanya yang juga memaklumkan bahawa tidak mengetahui sama ada buku tersebut mempengaruhi pemikiran Yazid dan Hilmi.

Malah beliau juga tidak tahu sama ada Yazid dan Muhammad Hilmi sudah membaca lima buku tersebut atau tidak sebelum ini.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid, Kamarudin memaklumkan bahawa beliau tidak mengenali kedua-dua tertuduh dan hanya mengenalinya pada Selasa semasa memberi keterangan di mahkamah.

Beliau juga memaklumkan penilaian dibuat daripada buku-buku yang dibacanya, tiada kaitan langsung dengan Yazid dan Muhammad Hilmi sebaliknya dibuat berdasarkan pemahamannya sendiri mengenai buku tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung Khamis.

Tags / Kata Kunci: kes Yazid

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan