Kes Pegawai Polis Wanita Bebaskan 'Kasanova' Ditangguh

Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 6:33 PM

L Chandkumary

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis wanita yang diperintah membela diri atas pertuduhan sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali 'Kasanova' ditangguh pada 21 Mei ini.

Majistret B. Sri Pracha Nanthini menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim untuk menangguhkan perbicaraan itu selepas memaklumkan rakannya, Siti Fatimah Talib, yang mengendalikan kes itu, telah bersalin lebih awal.

Kes tersebut sepatutnya dijadual untuk sambung bicara pada Khamis.

Muhammad Hafiz memberitahu mahkamah bahawa Ketua Unit Pendakwaan Negeri Pulau Pinang belum memutuskan siapa Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengambil alih kes tersebut.

Justeru, beliau memohon tarikh sebutan baharu.

Pada prosiding hari ini tertuduh ASP L. Chandkumary, 58, hadir di mahkamah.

Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 47, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Okt 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: L Chandkumary , Kasanova

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan