Tumbuk Kepala Polis, Penganggur Dipenjara

Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 4:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akibat menumbuk kepala seorang anggota polis, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Attu Holdy, 27, selepas dia mengaku bersalah menggunakan kekerasan dengan menumbuk bahagian belakang kepala Lans Koperal Rosdi Ali bagi menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 26 April lepas.

Adam yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan kedai Toto di Jinjang Selatan, Sentul di sini, pada 4.15 petang, 26 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, polis cuba menahan Adam yang dalam keadaan mencurigakan tetapi tertuduh terus melarikan diri selepas Rosdi menunjukkan kad kuasanya.

Rosdi kemudian berjaya menangkap Adam tetapi tertuduh menumbuk anggota polis itu sebanyak dua kali dan akibat daripada tumbukan berkenaan, beliau mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran.

Tags / Kata Kunci: Polis , Penganggur

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan