Ahli Perniagaan Didakwa Tipu Pengurus Operasi

Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 3:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan pada Rabu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang pengurus operasi sebuah syarikat swasta membabitkan kerugian RM225,000 pada Mac lepas.

Muhamad Alif Teoh Abdullah, 32, didakwa menipu Mohd Zakhair Mohd Aris, 48, untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai tersebut bagi tujuan bon cagaran kepada kerajaan untuk kelulusan pembelian simulasi alat menembak daripada KDN.

Muhammad Alif didakwa melakukan kesalahan itu di satu alamat di  Medan Athinahapan 2, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 10 Mac lepas.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad tidak menawarkan jaminan, namun peguam Mohamad Syazwan Mohd Salleh yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 3 Julai untuk sebutan semula kes.

Tags / Kata Kunci: Mahkamah , Ahli Perniagaan , Tipu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan