Syarikat Pertama Didakwa Bawah Akta Kawalan Harga Dan AntiPencatutan 2011

Diterbitkan: Selasa, 5 Mei 2015 1:42 PM

Pooi Guan (depan) mewakili syarikat mengaku tidak bersalah selepas didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, Selasa.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Trendcell Sdn Bhd yang memiliki Jaya Grocer Supermarket menjadi syarikat pertama di Malaysia dihadapkan di mahkamah atas kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengarah Trendcell, Ting Pooi Guan, 59, yang hadir ke Mahkamah Sesyen di sini sebagai wakil syarikat itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Trendcell didakwa menaikkan margin keuntungan penjualan sekilogram kacang bendi sebanyak RM6.60, iaitu daripada RM3.10 pada 1 Jan lepas kepada RM9.70 pada 3 Jan hingga 20 Jan lepas di premis Jaya Grocer,  Block A, Bangi Gateway Shopping Complex, Bandar Baru Bangi dekat sini.

Dengan itu syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi Peraturan 2 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme untuk Menentukan Keuntungan Tinggi yang Tidak Munasabah)(Margin Keuntungan Bersih) 2014.

Trendcell didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18 (a) Akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Azhari menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datin Tay Lee Ly dan Aida Farihan Mohd Nawi sementara Trendcell diwakili peguam V. Kalearasu. -- Bernama 







iklan

Kolumnis

iklan

Iklan