Suami Isteri Didakwa Pukul Amah Indonesia Dengan Besi, Rotan

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 7:31 PM

Penjawat awam Shahrul Azryin Ahmad, 30, (tiga, kiri) dan isterinya Zulaikha Nordin, 26, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, Kuala Lumupr, Khamis, terhadap pertuduhan mendatangkan cedera parah terhadap pembantu rumah mereka menggunakan batang besi dan rotan. Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes itu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majikan kepada seorang pembantu rumah yang didera dan ditinggalkan di dalam hutan sendirian dua minggu lepas, pada Khamis diheret ke mahkamah untuk berdepan empat pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan suami isteri itu, Shahrul Azyrin Ahmad, 30, dan Zulaikha Nordin, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini terhadap pertuduhan mendatangkan cedera parah terhadap pembantu rumah mereka menggunakan batang besi dan rotan.

Shahrul Azyrin, pegawai Imigresen dan isterinya suri rumah didakwa bersama-sama dengan sengaja mendatangkan cedera parah kepada wanita warga Indonesia berusia 22 tahun itu di rumah mereka di No. G28-08, Simfoni Heights Condo, Jalan Medan Selayang 2, Gombak di sini pada 7.30 malam 18 April lepas.

Pasangan yang mempunyai dua anak perempuan berusia tiga tahun dan enam bulan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memperdagangkan wanita itu dengan mengunakan kekerasan iaitu memukulnya menggunakan alat sama (batang besi dan rotan) di tempat dan masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 13(b) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin kerana ia serius melibatkan penjara maksimum 20 tahun.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad dan M. Sivam yang mewakili kedua-dua tertuduh pula berhujah jaminan hanya syarat kehadiran tertuduh ke mahkamah dan tiada alasan untuk anak guamnya melarikan kerana dia merupakan seorang penjawat awam.

"Isterinya juga masih menyusukan anak mereka yang berumur enam bulan," katanya.

Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan Shahril Azyrin dan Zulaikha masing-masing diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes itu.

Selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pasangan itu dibawa ke Mahkamah Majistret untuk berdepan dengan dua lagi pertuduhan dan mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama mereka didakwa bersama-sama mengambil pekerja yang tidak memiliki permit sah mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Pasangan itu juga dituduh menyimpan pasport wanita itu tanpa milik sah mengikut Seksyen 12 Akta Pasport yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM50,000.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki membenarkan Shahrul Azyrin dan Zulaikha masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan yang sama dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan.

Sepanjang prosiding, pasangan itu yang ditangkap pada 21 April lepas, sehari selepas mangsa dijumpai, kelihatan mendiamkan diri dan hanya menggelengkan kepala selepas ditanya pengakuan mereka.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah didera dan ditinggalkan di dalam hutan sendirian tanpa makan dan minum berhampiran perkampungan Orang Asli di Ulu Yam, Hulu Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan