Anwar Ibrahim Fail Semakan Untuk Ketepikan Sabitan Liwat, Penjara

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2015 4:56 PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada para penyokongnya di luar mahkamah hari ini. - Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, pada Khamis memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara itu atas alasan wujud ketidakadilan.

Notis usul itu yang dilampirkan bersama-sama afidavit sokongan Anwar setebal sembilan muka surat difailkan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini oleh peguam belanya N. Surendran.

Dalam pemohonan itu, Anwar, 67, meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan Peraturan 137, Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mengetepikan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bagi kesalahan meliwat dan hukuman lima tahun penjara diputuskan terhadap Anwar oleh Mahkamah Rayuan.

Sebagai pilihan, beliau memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuannya atas meritnya sendiri.

Dalam afidavit itu, Anwar berkata penghakiman disampaikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb tahun ini wajar disemak semula untuk mencegah ketidakadilan.

Beliau mendakwa kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada hari penghakiman Mahkamah Persekutuan dan tatalaku ketua pendakwa raya telah menyebabkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu tidak selamat dari segi objektifnya.

Dalam afidavitnya bagi menyokong permohonan semakan itu, Anwar mendakwa PMO telah mengeluarkan kenyataan mengulas sabitannya sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar hujahnya terhadap hukumannya pada hari penghakiman itu disampaikan.

Beliau mendakwa waktu dan masa kenyataan itu dikeluarkan dan isi kandungannya memberikan tanggapan kepada orang awam bahawa PMO telah tahu keputusan kes itu malah sebelum ia diumumkan.

Katanya bukan menjadi amalan PMO untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu dalam mana-mana rayuan kes jenayah lain dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana kes pada masa lalu, dan menurutnya ia adalah tindakan luar biasa di pihak PMO yang telah menimbulkan prejudis serius terhadap dirinya.

Anwar juga menjadikan satu lagi alasan bagi permohonan semakan itu adalah tentang tatalaku Ketua Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa telah mengadakan jerayawara untuk menjelaskan kes 'liwat II' dan telah menyerang peribadinya, dengan itu telah mencemarkan keadilan perbicaraannya.

Beliau juga berkata sabitan dan hukuman penjaranya patut diketepikan kerana  Mahkamah Persekutuan telah gagal mengendalikan isu penting dan membuat inferens terhadap permaidani, kononnya tempat kejadian itu didakwa berlaku, yang telah dipindahkan ke unit lain di kondominium itu.

Anwar, dalam afidavit itu, antara lain turut mendakwa Mahkamah Persekutuan tidak memberi perhatian terhadap keterangan berhubung konspirasi politik dan mahkamah juga tidak memberikan pertimbangan sewajarnya berhubung isu kredibiliti  Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 10 Feb tahun ini, panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitannya bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful, 30, dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun diputuskan Mahkamah Rayuan terhadapnya.

Anwar didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar selepas dipanggil membela diri.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Turut hadir semasa memfailkan permohonan itu ialah anak Anwar yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan