Bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Didakwa Miliki Maklumat Dalaman Saham

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2015 8:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Malaysian Merchant Marine Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu terhadap tiga pertuduhan mempunyai maklumat dalaman mengenai saham syarikat itu.

R. Ramesh, 51, didakwa mempunyai maklumat yang tidak boleh didapati secara umum iaitu cadangan oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) untuk menurunkan penarafan kreditnya ke atas Al-Bai' Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) Malaysian Merchant Marine Berhad.

Seseorang yang mengetahui maklumat itu akan memberi kesan material ke atas harga atau nilai saham.

Sehubungan itu tertuduh telah melupuskan lebih 10 juta unit saham miliknya yang dipegang dalam akaun Sistem Depositori Pusat.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 11 Januari, 19 Februari dan 22 Februari 2010 mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan Ramesh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah selepas tertuduh kembali dari luar negara atas urusan perniagaan pada 29 Mei depan.

Mahkamah menetapkan tarikh sama (29 Mei) untuk sebutan semula.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin dan Munira Masood mewakili pihak pendakwaan manakala peguam R. Thiruchelvam dan C. Paul Aisu mewakili tertuduh.-- Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan