Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh, Cederakan Pegawai Bank

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2015 1:19 PM

Anggota Polis mengiringi pengawal keselamatan Rosly ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang pegawai Bank HSBC dua minggu lepas.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, Isnin atas tuduhan membunuh seorang pegawai bank di sini, dua minggu lepas.

Rosly Mohd Ismail, 44, didakwa membunuh Ho Chin Tau, 33, di tingkat 1, Bank HSBC, Jalan Molek 1/10, Taman Molek di sini kira-kira 3.40 petang, 17 April lepas.

Rosly yang berasal dari Bandar Baru Uda di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbaju T putih mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Allias. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Mohd Azlan Shah menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rosly mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan pisau terhadap seorang pegawai bank, R.Vasantha Devi, 54.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Ab Aziz menetapkan 28 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama 

Tags / Kata Kunci: Rosly Mohd Ismail , Bank HSBC , Taman Molek , bunuh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan