Guru Tadika Dapat Kebenaran Merayu Berhubung Arahan Terhadap KPN

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 8:02 PM

M Indira Ghandi

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini memberi kebenaran kepada guru tadika untuk meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Ketua Polis Negara (KPN) tidak boleh dipaksa untuk menangkap bekas suaminya, seorang mualaf dan mengembalikan semula anak perempuan bongsunya yang kini dijaga bekas suaminya.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel lima hakim membenarkan permohonan M. Indira Ghandhi bagi kebenaran untuk merayu dengan satu persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada pendengaran rayuan itu.

Persoalan undang-undang itu sama ada perintah mandamus boleh dikuatkuasakan terhadap KPN untuk mengarahkan beliau melaksanakan waran tangkap dan perintah mendapatkan kembali anak wanita itu apabila beliau (KPN) telah menunjukkan keengganan untuk arahan pelaksanaan kedua-dua perintah itu.

Empat hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Pada 17 Disember tahun lepas, dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memaksa KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap Mohd Ridhuan Abdullah dan mengembalikan semula anak perempuannya, Prasana Diksa, 7, kepada Indira Ghandi.

Khalid berpendirian bahawa pihak polis dalam keadaan serba salah kerana terdapat dua perintah hak penjagaan iaitu daripada Mahkamah Tinggi dan satu lagi daripada Mahkamah Tinggi Syariah, melaksanakan satu perintah bererti tidak menghormati satu lagi perintah.

Sementara itu, Mohd Ridhuan yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, pada Rabu gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya.

Mahkamah Rayuan pada 10 September tahun lepas memutuskan ia (Mahkamah Rayuan) tidak boleh mendengar rayuan Mohd Ridhuan kerana beliau belum membebaskan dirinya daripada sabitan menghina mahkamah berikutan kegagalan mengembalikan Prasana Diksa kepada bekas isterinya yang beragama Hindu.

Mohd Ridhuan mengemukakan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan dia menghina mahkamah dan terhadap satu perintah yang memaksa polis mengesannya untuk mengembalikan Prasana Diksa kepada ibu kanak-kanak itu.

Panel Mahkamah Persekutuan yang sama diketuai Zulkefli memutuskan Mohd Ridhuan tidak memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan memerintahkan Mohd Ridhuan membayar kos guaman RM10,000 kepada Indira Gandhi.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak jagaan tiga anak pasangan itu, Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana Diksa, 6, kepada Mohd Ridhuan selepas dia memeluk agama Islam.

Bagaimanapun, pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi hak jagaan penuh ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Indira Gandhi dan memerintahkan Mohd Ridhuan mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mensabitkan Mohd Ridhuan kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira Gandhi.

Indira Gandhi turut memperoleh perintah mendapatkan kembali anaknya daripada Mahkamah Tinggi bagi memaksa polis mengesan Mohd Ridhuan.

Di luar mahkamah, Indira Gandhi berkata beliau berharap Khalid akan mematuhi perintah mendapatkan kembali anaknya yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi bagi membolehkan beliau bertemu anaknya yang menyambut ulang tahun ketujuh pada 8 April lepas.

"Saya hanya berpeluang menghantar teks pesanan kepada anak perempuan saya untuk mengucapkan selamat hari jadi melalui telefon bimbit suami saya tetapi tidak ada jawapan," katanya.

Beliau berkata, telefon suaminya masih berfungsi dan beliau percaya Mohd Ridhuan masih berada di dalam negara dengan Prasana Diksa yang didakwa diambil daripada jagaannya ketika dia berusia 11 bulan. -- Bernama 

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan