Pendakwaan Akan Buktikan Yazit Sufaat Penaung Kumpulan Pengganas

Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 9:45 AM

Yazid Sufaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan membuktikan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, adalah penaung kumpulan pengganas 'Tanzim Al-Qaeda Malaysia', yang diasaskannya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, Yazid juga menjalankan beberapa siri usrah di rumahnya di Taman Bukit Ampang, Lembah Jaya, Ampang, Selangor antara Julai dan Oktober 2012 untuk merekrut anggota baharu serta menyebarkan ideologi keganasan.

Mohamad Hanafiah berkata, pihaknya juga akan membuktikan bahawa melalui usrah tersebut, tertuduh menggalakkan perbuatan keganasan yang menjurus kepada mengugut orang awam di Syria.

"Pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh sepanjang tempoh antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 telah menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia," katanya dalam ucapan pembukaan perbicaraan hari pertama kes Yazid dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin.

Mohamad Hanafiah berkata, pendakwaan juga akan membuktikan Muhammad Hilmi, iaitu tertuduh kedua yang bersubahat dengan Yazid bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Selain itu, dalam membuktikan setiap elemen kesalahan yang dipertuduhkan terhadap Yazid dan Muhammad Hilmi, Mohamad Hanafiah memaklumkan pihaknya akan mengemukakan antara lain keterangan secara lisan melalui saksi awam merangkumi keterangan saksi terlindung, keterangan dokumentar yang juga melibatkan maklumat sensitif serta rakaman audio.

"Pihak pendakwaan selanjutnya akan turut mengemukakan keterangan secara lisan, dokumentar dan rakaman audio bagi membuktikan tertuduh pertama (Yazid) telah mengadakan usrah di rumahnya yang melibatkan perbincangan mengenai hal-hal jihad melalui peperangan dan mengangkat senjata untuk menggalakkan peserta usrah supaya berjihad di luar negara, terutama di Syria," katanya.

Mohamad Hanafiah juga menyatakan pihaknya akan mengemukakan keterangan secara lisan, dokumentar dan rakaman audio bagi membuktikan Muhamad Hilmi bersubahat dengan Yazid menggalakkan serta mempromosikan kepada orang awam untuk menyertai usrah yang dianjurkan Yazid.

Tegasnya pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan saksi yang pakar dalam bidang masing-masing bagi membuktikan bahawa perbuatan kedua-dua tertuduh itu menggalakkan perlakuan perbuatan keganasan.

"Pihak pendakwaan dalam perbicaraan ini akan membuktikan setiap intipati pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dengan pembuktian yang melampaui tahap keraguan munasabah," katanya.

Sementara itu, saksi pendakwaan pertama, Deputi Superitendan T. Thiagarajah, 51, memaklumkan mahkamah, beliau diarahkan oleh Timbalan Pengarah Pasukan Petugas Khas Kontinjen Bukit Aman ketika itu, Senior Asisten Komisioner Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, untuk membuat laporan polis terhadap Yazid.

Pegawai kanan polis daripada Pasukan Petugas Khas Kontinjen Bukit Aman itu, yang menyiasat kes berkenaan keganasan berkata laporan polis tersebut dibuat supaya siasatan terhadap Yazid mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) boleh dimulakan.

Ketika ditanya Mohamad Hanafiah mengenai sebab siasatan terhadap Yazid perlu dibuat di bawah SOSMA, Thiagarajah memaklumkan beliau tidak diberitahu mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mendapat arahan untuk membuat laporan polis pada 2.30 petang, 23 Oktober 2012, bagaimanapun hanya membuat laporan polis pada 4.30 petang hari yang sama.

Terdahulu, pada awal prosiding Mohamad Hanafiah memohon perbicaraan melibatkan seorang lagi tertuduh Halimah Hussein dibicarakan secara berasingan kerana waran tangkap terhadap suri rumah itu belum dilaksanakan berikutan dia gagal dikesan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan kes.

Pada 8 Februari 2013, Yazid, 49, Muhammad Hilmi, 33, dan Halimah, 54, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam aktiviti keganasan di Syria di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2014 Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pertuduhan terbabit.

Namun, 27 Mei tahun sama, Yazid dan Hilmi, sekali lagi didakwa dan mengaku tidak bersalah menjadi anggota kumpulan pengganas di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup dan denda.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.

Perbicaraan bersambung Selasa.

Tags / Kata Kunci: Yazid Sufaat , ISA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan