Bersih 1.0:11 Peserta Didenda Kerana Ingkar Arahan Bersurai

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 7:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebelas peserta perhimpunan Bersih 1.0 didenda RM8,000 setiap seorang selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat kerana mengingkari arahan polis untuk bersurai dalam perhimpunan itu di sekitar ibu negara, lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman.

Amelia membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengingkari arahan polis untuk bersurai dalam perhimpunan itu.

Hakim juga memerintahkan setiap mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Dalam keputusannya, Amelia berkata, pembelaan yang dikemukakan kesemua mereka semasa di Mahkamah Sesyen adalah bersifat sesuatu yang ditambah atau difikirkan kemudian.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika menyatakan bahawa saksi polis tidak mempunyai kredibiliti ketika memberi keterangan dalam kes itu.

Mahkamah juga bersetuju bahawa pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes itu dan mahkamah berpuas hati keterangan saksi-saksi yang  tidak konsisten," katanya.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa tempat sekitar ibu negara seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara 1 tengah hari dan 4 petang, 10 Nov 2007, mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama.

Bagaimanapun, Amelia mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua daripada pertuduhan sama dengan sebelas lelaki itu.

Amelia berkata, Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersilap dalam membuat keputusan itu dan kegagalan pendakwaan mengemukakan rakaman video memberi kesan serius kepada kes itu.

Mahkamah juga mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas Anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan kerana menyertai perhimpunan itu selepas membenarkan rayuannya.

Pada 27 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Amelia berkata, bahawa hakim ketika itu tidak mengambil kira satu pun pembelaan yang dikemukakan Gobalakrishnan.

"Adalah tidak selamat untuk mensabitkan Gobalakrishnan terhadap pertuduhan itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu dan di tempat yang sama mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Israkh Saad dan Mohd Farizul Hassan Bakri manakala pembelaan diwakili peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Jason Tay.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan