Merusuh Di Stadium: Enam Lelaki Mengaku Bersalah

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 6:05 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Enam lelaki termasuk dua beradik yang menghadapi pertuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Disember lepas, menukar pengakuan mereka kepada bersalah pada Jumaat.

Amirul Akmal Nooradzhar, 23, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 20, Muhamad Izzat Mohd Khir, 26, serta dua beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 35, dan Noor Hadi, 30, menukar pengakuan itu ketika kes mereka disebut di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas Amirul Akmal, Zulhelmy Akmal, Muhamad Izzat, Mohd Aminuddin dan Noor Hadi serta menetapkan 28 April untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan sosial Muhammad Naquiddin yang merupakan pesalah muda ketika kejadian.

Kesemua lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam, 7 Disember tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa  hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara peguam Muhammad Hidhir Mustapa mewakili Muhammad Naquiddin, Amirul Akmal dan Zulhelmy Akmal, peguam M. Hafiz Zainol Abidin mewakili Mohd Aminuddin dan Noor Hadi dan peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Muhamad Izzat.

Dalam insiden pada 7 Dis tahun lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

Ketika kekecohan itu, seorang penyokong Vietnam mengalami kecederaan dan susulan itu, sembilan lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan.

Tags / Kata Kunci: Merusuh , Stadium Shah Alam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan