Lelaki Thailand Pungut Derma Tanpa Lesen Didenda RM500

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2015 5:27 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Thailand dikenakan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memungut derma bagi pembinaan sebuah masjid di negara itu tanpa lesen.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin turut memerintahkan tertuduh, Abdulmanah Gonoh, 52, menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa bertindak sebagai pemungut derma untuk pembinaan Masjid Darul Asyikin di Thailand tanpa lesen di sekitar Restoran Molek, Jalan Plumbum AA7/AA, Pusat Komersial, Seksyen 7 di sini pada 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 dan dihukum mengikut Seksyen 3(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Muhammad Hidhir Mustapa yang mewakili Abdulmanah memohon agar mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara atas alasan anak guamnya ingin pulang segera ke Thailand.

Beliau juga berkata anak guamnya tidak tahu bahawa dia perlu mengambil lesen untuk memungut derma.

Timbalan Pendakwa Raya Rostam Salip yang mengendalikan pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Tags / Kata Kunci: Thailand , derma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan