Akta Hasutan Tidak Sah Kerana Tidak Digubal Parlimen - Peguam

Diterbitkan: Selasa, 24 Mac 2015 11:24 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang tidak sah kerana ia tidak digubal oleh Parlimen, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah Akta Hasutan, undang-undang praMerdeka, asalnya dikenali sebagai Ordinan Hasutan 1948 digubal oleh Majlis Perundangan.

Katanya Akta Hasutan tidak boleh diubah suai untuk diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu Akta itu telah terbatal sebaik sahaja Perlembagaan Persekutuan diwujudkan.

Beliau berkata hanya Parlimen diberi kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara kerana ia diberi hak eksklusif oleh Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian.

"Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai autoriti undang-undang untuk mengubah suai Ordinan Hasutan. Autoriti Seri Paduka untuk mengubah suai undang-undang mengikut Perkara 162 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami iaitu tidak meliputi undang-undang sedia ada yang mengehadkan kebebasan bersuara," katanya.

Malik mewakili Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang mencabar keperlembagaan Akta Hasutan.

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Ketua Hakim Negara  Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar mendengar perkara itu yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan oleh Mahkamah Tinggi bagi penentuan dua soalan berkaitan perlembagaan.

Azmi, 46, berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lepas.

Kedua-dua kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Peguam Cara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah Akta Hasutan ialah h undang-undang yang sah dan berkuat kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya walaupun Akta Hasutan tidak digubal sebagai undang-undang oleh Parlimen, namun ia perlu ditafsirkan sebagai telah digubal oleh Parlimen.

Beliau berkata dari Hari Merdeka sehingga 27 Jun, 1959, Parlimen masih belum wujud dan dengan itu semua undang-undang yang digubal malah pada Hari Merdeka pada 1957 sehingga 11 September 1959 apabila Parlimen pertama kali bersidang, adalah tidak digubal oleh Parlimen.

Tun Abdul Majid berkata Ordinan Hasutan merupakan undang-undang sedia ada dan terus dikuatkuasakan pada dan selepas Hari Merdeka, dengan pengubahsuaian yang difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Ordinan Hasutan telah diubah suai beberapa kali untuk menjadikan ketetapannya selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan. Akta Hasutan  1948 diterima sebagai satu-satunya undang-undang yang betul berkaitan perkara yang menjadi kesalahan bagi hasutan," katanya.

Beliau berkata walaupun tidak digubal secara langsung oleh Parlimen, Akta Hasutan telah menerima kelulusan perlembagaan oleh Parlimen.

Selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Arifin berkata mahkamah menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.


Tags / Kata Kunci: Akta Hasutan

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan