Nik Sapeia Kekal Bebas Tuduhan Sembur Bahan Berbahaya Kepada Dr M

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 5:24 PM

Nik Sapeia Nik Yusoff.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara enam bulan atas dakwaan menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak rayuan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki membenarkan bantahan awal oleh peguam Nik Sapeia, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan.

Turut dalam panel tersebut ialah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata mahkamah mendapati persoalan dalam notis pindaan dalam petisyen rayuan pihak pendakwaan turut mengemukakan campuran undang-undang persoalan dan fakta kes.

Muhammad Shafee juga berhujah bahawa rayuan pihak pendakwaan itu tidak cekap kerana soalan itu tidak hanya terbatas kepada persoalan undang-undang sebagaimana dituntut di bawah Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen tersebut menyatakan bahawa pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan rayuan berhubung perkara-perkara yang berbangkit dari Mahkamah Majistret dan rayuan tersebut hanya berdasarkan kepada persoalan undang-undang.

Pihak pendakwaan telah mengemukakan sembilan persoalan untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan pembebasan Nik Sapeia.

Pada 14 Januari 2010, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Nik Sapeia selepas didapati bersalah menyerang sehingga menyebabkan kecederaan ke atas bekas perdana menteri itu dengan menyembur bahan bahaya.

Nik Sapeia, 61, didakwa me­lakukan kesalahan tersebut di La­pangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.

Bagaimanapun, pada 29 Januari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan rayuan Nik Sapeia dan membebaskannya daripada hukuman itu.

Sementara itu, Nik Sapeia berkata beliau bersyukur atas keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu selepas melalui dugaan selama lapan tahun.

Bagaimanapun, katanya, nasibnya bertambah baik semasa tempoh tersebut. 

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dan Lailawati Ali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan