Shafee Peroleh Injunksi Halang Majlis Peguam Bentang Usul Kelakuannya

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 5:39 PM

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Jumaat berjaya menghalang Majlis Peguam daripada mengemukakan usul mengenai kelakuannya berhubung rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu, Sabtu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Muhammad Shafee nagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya Christopher Leong atau melalui ejen mereka daripada membenarkan usul itu dikemukakan, dibincang atau diluluskan semasa AGM atau membincangkan apa-apa perkara berkaitan kelakuan Muhammad Shafee dalam rayuan oleh Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac 2015 atau mana-mana tarikh lain selepas itu.

Hakim juga membenarkan injunksi interim ex-parte Muhammad Shafee menghalang peguam Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V. C. George atau melalui ejen-ejen mereka daripada mengemukakan usul bertajuk "Usul terhadap Shafee Abdullah bertarikh 28 Februari, 2015" atau usul yang serupa pada AGM ke-69 Majlis Peguam, pada 14 Mac atau pada mana-mana tarikh lain kemudian.

Hakim Asmabi mengeluarkan perintah injunksi itu selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican yang mewakili Muhammad Shafee.

Mahkamah menetapkan 27 Mac untuk mendengar permohonan bagi injunksi inter-parte.

Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara fiat (kebenaran) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan pendakwaan dalam kes liwat itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ketika ditanya mengenai usul itu esok, naib presiden Majlis Peguam Steven Thiru berkata badan itu tidak boleh memberi komen secara rasmi mengenai perkara itu untuk didengar oleh mahkamah kerana ia pada dasarnya adalah mesyuarat dalaman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan