Rakan Tidak Sangka Polis Lepas 15 Tembakan

Diterbitkan: Selasa, 10 Mac 2015 8:54 PM

Koperal Jenain Subi, anggota polis yang menembak mati remaja, Aminulrasyid Amzah lima tahun lepas, hadir ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan saman sivil keluarga remaja tersebut terhadapnya dan kerajaan di Mahkamah Tinggi pada Selasa. Foto: BERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pelajar kolej swasta berkata dia telah memberi cadangan kepada Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak anggota polis dalam kejadian hampir lima tahun lepas, supaya memberhentikan kereta berkenaan ketika dikejar peronda polis.

Muhamad Azamuddin Omar, 20, ketika perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh keluarga Aminulrasyid terhadap Koperal Jenain Subi dan empat yang lain di Mahkamah Tinggi di sini petang Selasa, berkata sebaliknya rakannya ituterus memandu kereta berkenaan.

Ketika disoal balas peguam Zulkifly Omar yang mewakili Jenain, Muhamad Azamuddin yang ketika kejadian berumur 15 tahun berkata: "Saya beri cadangan supaya dia (Aminulrasyid) berhenti untuk berbincang (dengan polis) tetapi dia diam sahaja dan terus pandu kereta," katanya.     

"Kalau kamu yang pandu kereta dan dikejar ketika itu, adakah kamu akan berhenti," soal Zulkifly dan Muhamad Azamuddin menjawab "mungkin".   

"Kalau kamu dikejar apa tindakan kamu, adakah kamu akan terus memandu,"soal Zulkifly dan saksi keempat pihak plaintif itu menjawab "mungkin".

Bagaimanapun, Muhamad Azamuddin bersetuju dengan cadangan Peguam KananPersekutuan Normastura Ayub yang mewakili empat defendan lain bahawa Aminulrasyid sepatutnya memberhentikan kereta apabila diarahkan berbuat demikian dan dalam keadaan kereta peronda polis yang mengejar mereka turut memasang siren.   

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Normastura bahawa insiden tembakan itu berlaku disebabkan kegagalan Aminulrasyid untuk memberhentikan kereta.   

Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 66, dan kakak sulung Aminulrasyid,Nor Azura, 45, selaku plaintif menamakan Jenain, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.   

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut gantirugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.    

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, disini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja berumur 15 tahun itu dengan tujuan menghentikannya.

Kepada soalan oleh peguam N.Surendran yang mewakili keluarga Aminulrasyid, Muhamad Azamuddin berkata dia tidak menyangka bahawa pihak polis bertindak melepaskan tembakan semata-mata kerana rakan baiknya itu memandu kereta dengan laju.    

Dia juga juga tidak menyangka bahawa pihak polis telah melepaskan kira-kira 15 das tembakan ke arah kereta Iswara Aeroback yang dinaiki oleh beliau dan Aminulrasyid dalam kejadian awal pagi 26 April 2010 itu.   

Muhamad Azamuddin turut tidak menyangka bahawa kereta yang dipandu rakan baiknya itu akan ditembak oleh pihak polis ketika Aminulrasyid sedang cuba sedaya-upaya untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 11 di sini.    

"Aminulrasyid memandu dengan laju kerana dia dalam ketakutan dan rasa bersalah kepada keluarganya kerana dia telah melakukan kesalahan besar iaitu memandu kereta tanpa kebenaran ibunya," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 5dan 15 Mei ini. -BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Aminulrasyid Amzah , kes tembak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan