Permohonan Semakan Kehakiman Anak Sosilawati 26 Mei Ini

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2015 1:48 PM

Salah seorang anak Sosilawati.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menetapkan 26 Mei depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya untuk mewajibkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian ibu mereka, yang mati dibunuh di Banting, Selangor, pada 2010.

Penolong Kanan Pendaftar N. Arun menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Persekutuan Haryati Ahmad, yang mewakili JPN dan peguam Norehan Asmaran, mewakili lima beradik itu.

Haryati memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 19 Mei untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan afidavit untuk pendengaran kes berkenaan.

Pada 24 September 2014, anak-anak jutawan itu -- Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 29, Md Erwan Nasri, 28, Erni Erinawati Sofia, 26, Erni Rineelawati, 25, dan Siti Nur Fatimah, 18, memfailkan permohonan dengan menamakan JPN sebagai responden tunggal.
 
Mereka antara lain, memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan JPN pada 25 Julai 2014, yang tidak mengeluarkan sijil kematian ibu mereka.

Dalam surat mereka kepada JPN, lima beradik itu menyatakan bahawa mereka memerlukan sijil kematian untuk membolehkan mereka mengagihkan harta arwah ibu mereka kepada waris-warisnya.
 
Erwan Suwari Rizuwan, dalam afidavit sokongannya mendakwa bahawa JPN dalam penjelasan lisannya berkata sijil kematian tidak dapat dikeluarkan untuk Sosilawati kerana tiada jasad yang ditemui dan seperti yang diperuntukkan di bawah Sekyen 18, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, jika tiada jasad ditemui, seseorang itu akan dianggap hilang.
 
Beliau menyatakan bahawa disebabkan itu JPN berkata Seksyen 108 Akta Keterangan boleh digunakan jika seseorang itu tidak dapat ditemui atau dihubungi selepas tujuh tahun atau dia akan dianggap mati dan satu pengisytiharan kematian boleh dibuat.
 
Bagaimanapun, Erwan Suwari Rizuwan berkata terdapat beberapa keadaan istimewa dalam kes ibunya kerana mahkamah boleh mengisytiharkan dia meninggal dunia berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan dalam kes perbicaraan pembunuhan ibunya, walaupun jasadnya tidak ditemukan atau tempoh tujuh tahun sudah berlalu.
 
JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 kepada keluarga Sosilawati menyatakan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan selepas pelupusan kes rayuan itu oleh keempat-empat yang dituduh dalam perbicaraan kes pembunuhannya oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan menetapkan lima hari bermula 18 Mei depan untuk mendengar rayuan kes itu.
 
Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang - T.Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan - selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
 
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Tags / Kata Kunci: Sosilawati Lawiya , sijil kematian , JPN

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan