Penceroboh Keturunan Sulu Ditahan Ketika Mendayung Perahu Usang

Diterbitkan: Selasa, 24 Februari 2015 10:09 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan seorang lelaki, tertuduh dalam perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu, ketika dia mendayung perahu usang di laut lepas.

Bekas Pegawai Laksana KD Yu, Lt Syazwan Ariff Iman Abdul Raman berkata ketika bertugas sebagai Pegawai Anjungan pada kira-kira pukul 8.30 pagi 12 Mac 2013, beliau ternampak tertuduh, Ismail Yasin, mendayung seorang diri kira-kira satu batu dari kapal TLDM itu dan antara empat hingga lima batu nautika dari pantai Tanjung Labian, bersebelahan dengan Kampung Tanduo, tempat kumpulan lelaki bersenjata Sulu melakukan pencerobohan dua tahun lepas.

"Semasa saya mula melihat sampan itu, lelaki itu mendayung dalam keadaan perlahan-lahan ke arah laut lepas," katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan di kampung itu.

Syazwan Ariff Iman, yang kini bertugas sebagai pegawai staf di ibu pejabat TLDM di Kuala Lumpur, berkata ketika itu, beliau dan kapalnya menjalankan operasi khas untuk menahan dan menggeledah bot serta kapal yang lalu di perairan di luar pantai Tambisan, Tanjung Labian dan Kampung Tanduo berhubung pencerobohan tersebut.

"Untuk menghampiri sampan itu, saya memerlukan masa 10-15 minit dan saya mengarahkan lelaki di dalam sampan itu menghampiri kapal dan lelaki itu mematuhi arahan saya," katanya.

Syazwan Ariff Iman berkata beliau mengarahkan dua anggota TLDM menarik lelaki berkenaan naik ke kapal TLDM dan melakukan pemeriksaan badan terhadapnya, tetapi tidak menjumpai sebarang benda yang mencurigakan.

Kemudian, beliau memerintahkan dua anggota TLDM lain memeriksa beg galas berwarna hitam milik lelaki itu yang mengandungi pakaian serta kelengkapan dandanan diri.

Selepas melakukan pemeriksaan terhadap lelaki itu serta sampan dan beg galasnya, beliau memerintahkan Bintara Kanan PRL Jumadil Salahuddin menyoal siasat tertuduh, kata Syazwan Ariff Iman.

Beliau berkata, Jumadil, yang fasih berbahasa Suluk, bertanya kepada lelaki itu nama, umur dan tempat asalnya.

"Lelaki itu ada menyatakan namanya adalah Ismail Bin Haji Yasin. Umur saya tak ingat. Dia berbangsa Bajau dan berasal dari Pulau Sibutu (Filipina).

"Dia tak beritahu apa-apa lagi. Dia enggan beri maklumat," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar apakah soalan yang enggan dijawab tertuduh, Syazwan Ariff Iman berkata: "Antara soalan yang diajukan kepada tertuduh ialah berapa lama dia berada di laut dan apa yang dia buat di laut.

Saksi itu berkata beliau mendapati lelaki berkenaan berkeadaan mencurigakan kerana dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta berasal dari Pulau Sibutu.

"Kalau dianggarkan jarak Pulau Sibutu dengan tempat kami tahan tertuduh, adalah jauh dan tidak pernah ada orang mendayung sampan sampai ke pulau tersebut," katanya.

Syazwan Ariff Iman memberitahu mahkamah bahawa beliau memaklumkan tentang penangkapan lelaki itu kepada pegawai pemerintah KD Yu Lt Komander Mohd Saifullizan Md Ariff, yang menasihati pegawai laksana supaya menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis.

Kata pegawai itu, beliau menghubungi polis marin melalui Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan dan pada kira-kira pukul 10.30 pagi hari berkenaan, seorang pegawai polis marin tiba di KD Yu, di mana lelaki berkenaan serta beg galas dan kandungannya diserahkan kepada beliau.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan bagi beberapa pertuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 10, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok.

Tags / Kata Kunci: Sulu , Lahad Datu

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan