5 Jun Keputusan Berhubung Saman Anwar Terhadap Anifah

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:39 PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Anifah Aman.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 5 Jun bagi keputusannya berhubung saman malu RM100 juta yang dikemukakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menetapkan tarikh itu selepas Anwar memberi keterangan pada pendengaran saman itu.

Anwar dipanggil semula ke mahkamah pada Selasa selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda kenyataan pembelaannya.

Dalam kenyataan pembelaan yang dipinda, Anifah berkata beliau telah didatangi bekas timbalan pengerusi KFC Holdings (M) Bhd Datuk Ishak Ismail pada satu masa sebelum 16 September, 2008, ketika beliau berada bersama beberapa orang Anggota Parlimen (MP) lain di Cigar Lounge Kuala Lumpur Hilton. 

Anifah berkata Ishak membuat tawaran RM100 juta untuk beliau dan beberapa MP Barisan Nasional (BN) lain dari Sabah yang rapat dengan beliau untuk melompat dari gabungan BN menyertai gabungan Pakatan Rakyat.

Anwar memberitahu mahkamah beliau tidak pernah menyuruh Ishak menjadi agennya untuk menemui Anifah supaya menteri itu melompat ke pihak pembangkang.

Anwar juga berkata hubungan terakhirnya dengan Ishak ialah pada 2004 bila Ishak melawatnya di Munich. 

"Saya tidak lagi rapat dengannya sejak 1998 dan hanya sekali, pada 2004, beliau muncul di Munich dan kami berbual ringkas ketika itu," kata beliau semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Anifah.

Muhammad Shafee: "Anda kenal siapa Ishak Ismail?"

Anwar: "Saya kenal beliau sejak awal 80an. Beliau dari Pulau Pinang seperti anda; bila saya jadi menteri, beliau menemui saya seperti anda lakukan.

Muhammad Shafee: "Ini bukan tempat untuk bersenda. Jawab saja! Anda kenal Ishak Ismail?" 

Anwar: "Ya. Beliau berkhidmat di bahagian (UMNO) Permatang Pauh pada 1994-1995. Saya jadi ketua Permatang Pauh sejak 1982. Saya tahu beliau seorang ahli perniagaan dan terlibat dengan KFC dan Idris Hydraulic."

Muhammad Shafee: "Adakah anda gunakan Ishak sebagai seorang agen untuk mengadakan perjanjian dengan Anifah supaya 16 September, 2008 menjadi kenyataan? (Merujuk kepada hari pembangkang dilaporkan merancang mengambl alih Putrajaya berikutan dakwaan berlaku tindakan beberapa MP BN melompat ke pihak pembangkang.Rancangan itu gagal). 

Anwar: "Tidak. Saya tidak hubungi Ishak."

Anwar juga berkata dakwaan Anifah mengenai tawaran RM100-juta (kepada beliau) untuk melompat ke pembangkang adalah 'jahat dan keji'. 
Beliau berkata dakwaan itu juga langsung tidak benar dan sesuatu yang hanya terlintas kemudian di fikiran.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh peguamnya Razlan Hadri Zulkifli, Anwar berkata beliau tidak rapat dengan Ishak sekarang dan mengesahkan bahawa Ishak tidak menjadi agennya dari 2004 hingga sekarang.

Anwar memfail saman terhadap Anifah dan kerajaan Malaysia pada 27 Mei 2009, dengan mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington, ketika Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hadir telah mencemar imej beliau.

Anwar menuduh Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak, menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan