Mahkamah Persekutuan Putuskan Anwar Liwat Mohd Saiful

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2015 8:02 PM

Anwar (belakang) dibawa ke Penjara Sungai Buloh selepas beliau didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan itu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun  dikenakan terhadap ahli politik itu oleh Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, berkata kenyataan tidak bersumpah oleh perayu (Anwar), yang jelas hanya memberikan kesan amat sedikit, dan keterangan dikemukakan menerusi saksi-saksinya telah gagal memberikan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

"Kami (panel) dengan ini yakin sepenuhnya yang melampaui keraguan munasabah bahawa saksi pertama pihak pendakwaan (Mohd Saiful) telah diliwat oleh perayu  (Anwar) seperti dituduh," kata Hakim Ariffin, membacakan ringkasan penghakiman setebal 54 muka surat.

Beliau berkata panel juga bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa Anwar tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, dan dengan itu pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

"Rayuan terhadap sabitan ditolak. Dengan ini, kami mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan perayu (Anwar)," katanya.

Hakim Arifin berkata keterangan saintifik (perubatan dan bukti DNA) dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan sel sperma milik Anwar ditemui dalam bahagian bawah dan atas rektum Mohd Saiful.

"Satu-satunya penjelasan yang logik bagi keadaan ini adalah PW1 (Saksi Pertama Pihak Pendakwaan Mohd Saiful) semestinya telah diliwat oleh perayu (Anwar)," katanya.

Hakim Arifin juga berkata mahkamah mendapati bahawa berdasarkan fakta kes ini, Mohd Saiful bukan peserta sukarela dalam kesalahan liwat ini, malah merupakan mangsa.

"Dalam sebarang keadaan, malah sekiranya kami bersetuju dengan hujahan peguam bela, kami mendapati terdapat keterangan sokongan yang mencukupi untuk menyokong keterangan Mohd Saiful," katanya.

Hakim Arifin berkata mahkamah tertinggi itu juga bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) bahawa terdapat keterangan sokongan yang mencukupi untuk menyokong keterangan Mohd Saiful bahawa dirinya telah diliwat oleh perayu (Anwar).

Muhammad Shafee berhujah hukuman penjara lima tahun adalah salah dari segi prinsip, dan berkata hukuman yang dikenakan terhadap Anwar tidak sepatutnya kurang daripada penjara enam tahun bagi kes liwat pertamanya.

Beliau berkata mahkamah mesti memberi pertimbangan kepada dapatan oleh Mahkamah Perseketujuan berkaitan kelakuan buruk Anwar, sungguhpun mahkamah berkenaan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, di sini pada 1994.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 dalam membebaskan Anwar pada 2004 telah membayangkan bahawa Anwar mempunyai kecenderungan homoseksual.

Muhammad Shafee berkata, kenyataan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama Anwar tidak seharusnya diabaikan terutamanya sekali semasa menjatuhi hukuman.

Beliau berkata meskipun beliau bersetuju sepenuhnya bahawa Anwar memberi sumbangan kepada negara semasa berada dalam kerajaan dan ketika menyertai pembangkang, namun kesalahan yang dilakukan Anwar adalah serius.

Sebelum mahkamah menyampaikan keputusannya berkaitan hukuman, Anwar berdiri di kandang tertuduh untuk membaca kenyataannya yang membidas keputusan mahkamah mensabitkan kesalahan beliau hari ini.

Beliau mendakwa mereka "tunduk kepada tuan politik mereka dan menjadi rakan dalam jenayah untuk membunuh badan kehakiman."

Dalam kenyataannya itu, Anwar menegaskan beliau tidak bersalah dan kes itu adalah konspirasi politik untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Ini menyebabkan Hakim Arifin bertanyakan Anwar tentang kerelevanan kenyataannya dan dijawab Anwar bahawa kenyataan itu mempunyai relevan.

Sri Ram kemudian memberitahu mahkamah Anwar mempunyai hak untuk menyatakan sesuatu kepada mahkamah. 

Hakim Arifin berkata Anwar boleh merayu untuk mengurangkan hukuman tetapi beliau tidak boleh mengecam (mahkamah).

Bagaimanapun ketua pembangkang itu terus menyerang badan kehakiman, mengakibatkan Arifin dan hakim-hakim lain yang bersidang, melangkah keluar dari mahkamah.

Anwar kemudian terus membaca kenyataannya, bercakap menerusi mikrofon, dan berucap kepada orang ramai yang duduk di galeri awam.

Selepas itu, ketika Anwar dibawa keluar dari mahkamah menuju ke lokap, penyokongnya dilihat melaungkan 'Reformasi' dan 'Hidup Anwar'.



iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan