Liwat II: Anwar Gagal Rayuan Terakhir

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2015 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim-hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Dengan keputusan ini, Anwar, 67, boleh hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.

Anwar diwakili sepasukan 15 orang peguam yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Empat belas peguam yang lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Gobind Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R. Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Khim Choon, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu. Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 November tahun lepas, Arifin menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pendengaran kes rayuan Anwar, yang pada mulanya ditetapkan untuk dua hari dari 28 Oktober 2014, berlarutan selama lapan hari apabila pihak pembelaan dan pendakwaan membentangkan penghujahan secara panjang lebar dan memetik banyak kes undang-undang.

Anwar, didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang menyatakan bahawa sesiapa yang secara sukarela melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah dihukum penjara bagi tempoh sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, di bawah undang-undang, orang yang berumur lebih daripada 50 tahun dikecualikan daripada sebatan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada meliwat Mohd Saiful, atas alasan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin tentang integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada mangsa.

Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel mungkin terjejas sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Bagaimanapun, pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam memutuskan tentang sampel DNA.

Ini merupakan kes liwat kedua terhadap Anwar.

Dalam kes pertama, dia didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, Kuala Lumpur pada tahun 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Mahkamah mengarahkan beliau menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun kerana rasuah, setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah pada 4 April, 1999.

Namun selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 September, 2004, selepas Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan dan mengetepikan hukuman penjara ke atas beliau atas tuduhan liwat, dengan keputusan majoriti 2-1.

Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti, berkata hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja "terlibat dalam kegiatan homoseksual" dan hakim-hakim lebih cenderung untuk mempercayai bahawa liwat yang didakwa itu memang berlaku. -- Bernama


iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan