Gobalakrishnan Ditahan Bantu Siasatan Kes Dakwaan Di Twitter

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 8:50 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung tweet yang menuduh terdapat pegawai polis berketurunan India di Pulau Pinang melindungi kumpulan kongsi gelap Geng 04 dalam kegiatan dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Abdul Rahman Ahmad berkata bekas anggota parlimen dari PKR berusia 55 tahun itu ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah pada pukul 3.30 petang selepas enggan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan. 

"Dia dibawa balik ke IPD Timur Laut dan polis akan memohon perintah reman daripada mahkamah esok bagi membolehkan kami merakam keterangan serta melengkapkan siasatan," katanya.

Gobalakrishnan melalui twitternya pada 6 Februari menulis "Some Penang Indian police officers are strongly backing 04 gang which deals with drugs". 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun twitternya semalam menyifatkan kenyataan itu sebagai tohmahan serius kepada pasukan polis dan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Abdul Rahman berkata polis membuka tiga kertas siasatan iaitu menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan. 

"Polis turut merampas telefon bimbit milik bekas anggota parlimen itu," katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan dakwaan Gobalakrishnan di dalam tweetnya itu.

"Kami telah dapatkan perintah daripada pejabat pendakwa raya untuk merekodkan keterangan Gobalakrishnan," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki melempar bungkusan dipercayai mengandungi daging babi ke dalam perkarangan Masjid Telaga Air, Butterworth dekat sini telah siap dan dihantar kepada Ketua Unit Perundangan pada Isnin.

"Berdasarkan siasatan awal polis, lelaki berusia 40-an itu dipercayai mempunyai masalah mental dan dia juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah," katanya. 

Lelaki berkenaan ditahan polis Jumaat lepas bagi membantu siasatan berhubung kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi itu.

Tags / Kata Kunci: N. Gobalakrishnan , Twitter

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan