Zamani & Teman Wanita Mengaku Tidak Bersalah Ambil Dadah

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 4:55 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

AMPANG: Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah.

Bagi pertuduhan pertama, Zamani, 43, dan Nur Juliana Abdul Rani, 32, didakwa bersama-sama memiliki 1.2 gram heroin di No. 31, Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat, Hulu Langat kira-kira pukul 12.30 pagi, 21 Jan lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu juga didakwa telah mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 2 pagi pada tarikh sama.

Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine kira-kira pukul 2.05 pagi di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula kes.

Mereka membayar jaminan itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul Rashid menawarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan tetapi peguam Che Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Zamani dan Nur Juliana berkata jumlah itu sangat tinggi.

Che Ahmad Zaharil berkata kedua-dua tertuduh telah mendaftar di Rumah Pengasih, iaitu pusat pemulihan dadah pada 24 Jan lepas.

"Saya percaya mereka akan hadir ke mahkamah. Mereka sekarang dalam proses rawatan oleh itu pendapatan mereka agak berkurangan. Pohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000," katanya.

Isu penahanan Zamani sebelum ini menjadi kontroversi selepas tersebar video dia disuruh menyanyi lagu Gerimis Mengundang dalam keadaan tangan bergari ketika di balai polis.

Video berkenaan mendapat bantahan ramai sehingga menyebabkan pihak pengurusan polis mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang merakan dan menyebarkan video tersebut.
Tags / Kata Kunci: Zamani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan