Sarjan Polis Dipenjara, Didenda Kerana Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 28 Januari 2015 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang sarjan polis dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah memperoleh rasuah daripada seorang pemilik kilang pisau.

Hakim Kamardin Hashim juga memerintahkan penjara lima bulan sekiranya tertuduh, Ahmad Sazali Md Desa, 55, gagal membayar denda itu.

Dalam keputusannya, Kamardin berkata mahkamah berpuas hati rayuan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar mempunyai merit dalam kes itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bagi penangguhan pelaksanaan hukuman dengan jaminan RM10,000 bercagar sehingga rayuan selesai.

Tertuduh, Ahmad Sazali, didakwa pada 25 Okt 2011 di Mahkamah Sesyen dan kemudian dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah Tinggi turut mengekalkan keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwaan.

Namun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh dipanggil membela diri. Tertuduh sekali lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen yang sama, pada 30 Okt 2013 dan kemudian pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 7 Nov 2013.

Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM2,000 daripada pemilik kilang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan melepaskan dua pekerja yang ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Tingkat 3, Blok B, Balai Polis Pudu, Cheras pada 12 tengah hari, 30 Nov 2010.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan