Lahad Datu: Mahkamah Rayuan Tangguh Kes Koperal Hassan Ali

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2015 1:32 PM

Pasukan keselamatan negara melakukan kawalan ketat di sekitar Lahad Datu berikutan pencerobohan pengganas, Ogos 2013.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini, Isnin membenarkan permohonan Koperal Hassan Ali Basari untuk menangguhkan pendengaran kes rayuannya terhadap sabitan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Ogos tahun lepas.

Hakim Mahkmah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, yang mengetuai penal hakim terdiri daripada Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam Ram Singh dan Kamarauddin Chinki yang mewakili Hassan Ali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar tidak membantah  permohonan itu.

Ram Singh berkata, Hassan Ali memohon penangguhan pendengaran rayuannya kerana mahu menunggu selesainya perbicaraan 30 suspek pengganas yang berlangsung sekarang.

Menurutnya dalam sesetengah perinsip perundangan, kes anak guamnya mempunyai persamaan dengan kes 30 suspek pengganas itu.

Abdul Aziz kemudian menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula rayuan Hassan Ali namun, defenden boleh memaklumkan kepada mahkamah untuk menetapkan semula tarikh itu selepas perbicaraan 30 suspek pengganas berkenaan selesai.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun ke atas Hassan Ali selepas tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana menyimpan maklumat berkenaan aktiviti pengganas di Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi P. Ravinthran memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 2 Mac 2013.

Mahkamah Tinggi mendapati Hassan Ali bersalah melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Lahad Datu antara Januari dan 2 Mac 2013.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan