Mahkamah Benar Wan Ji Rujuk Isu Perlembagaan Ke Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 7:36 PM

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, 32, (dua, kanan) bersama peguam N. Surendran (kanan), Latheefa Koya (kiri) dan Radzlan Jalaludin hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Jumaat untuk keputusan merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi berhubung tuduhan hasutan dihadapinya, dua tahun lepas.-Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan berhubung tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya, ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Slamat Yahya membenarkan permohonan tertuduh mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi berhubung kes-kes seumpamanya.


"Mahkamah ini perlu melihat sama ada isu tersebut tertakluk kepada Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan dengan itu mahkamah membenarkan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Slamat bagaimanapun menolak permohonan tertuduh untuk penangguhan prosiding kes berkenaan sehingga Mahkamah Tinggi selesai meneliti isu itu.

Ini kerana jika perbicaraan kes itu ditangguh, ia akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, kata Slamat.

Perbicaraan kes itu ditetapkan lima hari bermula 5 Mei.

Pada 5 Januari lepas, Wan Ji, 33, mengemukakan permohonan untuk merujuk kepada mahkamah yang lebih tinggi berhubung pertuduhan dikenakan ke atasnya berdasarkan persoalan sama ada Akta Hasutan 1948 adalah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Akta itu bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan bersuara.

Dia dituduh menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui laman sosial Facebook di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini pada 10 pagi, 5 November 2012.

Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 10 September tahun lepas. Tertuduh diwakili peguam N. Surendran, Latheefa Koya dan Radzlan Jalaludin manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun.


iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan