Rasuah: Bekas Timbalan Pengarah Perhutanan P Pinang Mengaku Tidak Bersalah

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 4:42 PM

Azahar diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Bekas Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat atas empat pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah daripada seorang kontraktor berhubung pemberian projek Bioteknologi Hutan, tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Azahar Ahmad, 51, didakwa meminta suapan RM4,000 daripada Dazari Jalani@Darus sebagai dorongan untuk memberikan Projek Bioteknologi Hutan 17, Tumbuhan Ubat-ubatan dan Herba di Hutan Lipur Teluk Bahang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Tingkat 20, Komtar dekat sini, pada 12.30 tengah hari, 18 Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Azahar didakwa memperoleh suapan wang tunai RM200, iaitu sebahagian daripada jumlah suapan RM4,000 yang diminta tertuduh daripada Dazari bagi tujuan sama di Lobi, Tingkat 3, Komtar dekat sini pada 1 petang, tarikh yang sama.

Azahar turut didakwa meminta suapan RM4,500 daripada kontraktor itu bagi tujuan sama di Restoran Nasi Kandar Pelita Bayan Baru, Jalan Tengah Bayan Baru, Bayan Lepas dekat sini, pada 6.05 petang, 24 Februari tahun lepas.

Untuk pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa memperoleh suapan RM1,000 yang merupakan sebahagian daripada jumlah suapan RM4,000 yang diminta Azahar daripada Dazari bagi tujuan sama pada masa dan tempat sama.

Keempat-empat pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Muhammad Nadzri menawarkan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan bagaimanapun Azahar memohon jaminan rendah dikenakan terhadapnya atas alasan mempunyai masalah kewangan dan  kesihatan.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 16 Februari ini sebagai tarikh sebutan dan membolehkan tertuduh melantik peguam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan