Polis Guna Semua Saluran Untuk Sirul Diekstradisi

Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 10:11 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis akan menggunakan semua saluran dan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul jika Australia enggan mengekstradisi bekas komando Sirul Azhar Umar, yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. 

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata Malaysia tidak diberitahu secara rasmi tentang keputusan Australia seperti yang dilaporkan oleh Sydney Morning Herald.

Pada Khamis, akhbar itu melaporkan bahawa Australia tidak akan mengekstradisi bekas anggota polis itu kerana undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati dihantar pulang, melainkan individu tersebut tidak akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. 

Sirul dilaporkan berada di Australia sejak bulan November.

Peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin berkata Sirul mungkin meninggalkan negara ini secara sah sebelum dia disabitkan membunuh Altantuya.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak memohon supaya Sirul direman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap pembebasannya.

Sirul, 42, menimbulkan tanda-tanya apabila gagal hadir di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan terhadapnya kerana membunuh, dengan berita melaporkan bahawa dia berada di Australia. Turut menerima hukuman sama ialah Ketua Inspektor Azilah Hadri, 38.

Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Kamarul berkata, beliau tidak berhubung dengan anak guamnya sejak Jun tahun lalu, kira-kira seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata anak guamnya adalah seorang yang bebas dalam tempoh Mahkamah Rayuan membebaskannya dan apabila Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan itu.

"Dia juga tidak perlu menyerahkan apa-apa dokumen, ditahan direman atau diletakkan di bawah jagaan tanpa sebab yang bertentangan dengan Perlembagaan," kata Kamarul.

Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memohon menggunakan Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menahan anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, katanya.

"Tetapi pihak pendakwaan tidak menggunakan undang-undang itu yang biasanya digunakan terhadap orang asing, bukan rakyat Malaysia," katanya.

Timbalan Peguam Cara II, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah  mengesahkan bahawa pihak pendakwaan tidak menggunakan Seksyen 56A.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan