Kes Deepa: Mahkamah Persekutuan Tangguh Arahan Hak Penjagaan

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bapa mualaf, Izwan Abdullah untuk menangguhkan perintah supaya menyerahkan anak lelakinya berusia enam tahun kepada bekas isterinya, S. Deepa.

Keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin turut membabitkan penangguhan perintah yang pernah dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah sebelum ini.

Ia membabitkan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan anaknya kepada ibu mereka dan mengarahkan polis mendapatkan kembali Mithran daripada Izwan pada 21 Mei 2014.

Sebelum ini Izwan memohon mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember tahun lepas yang menolak rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak penjagaan dua orang anaknya kepada Deepa.

Dia juga memohon kebenaran untuk merayu terhadap perintah mendapatkan semula anak yang diperoleh oleh Deepa daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pihak polis untuk mengesan Mithran yang dalam jagaan Izwan.

Pada 7 April, tahun lepas, Mahkamah tinggi menyerahkan hak penjagaan dua orang anak pasangan itu, Sharmila, 10, dan Mithran kepada ibu mereka.

Mahkamah juga memberi hak kepada Viran untuk melawat anaknya setiap minggu dan juga membenarkan permohonan Deepa bagi membubarkan perkahwinan sivil dengan Viran kerana dia (Izwan) telah memeluk Islam.

Pada 9 April, tahun lepas, Izwan dilaporkan telah melarikan Mithran.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu.

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak itu.

Tags / Kata Kunci: S. Deepa , Izwan Abdullah , Bapa Mualaf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan