Warga Uganda Dipenjara Enam Bulan Tawar Khidmat Seks Kepada Polis

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 3:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akibat menawarkan khidmat seks kepada anggota polis, seorang wanita warga Uganda dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Erry Shariman Nor Aripin menjatuhi hukuman itu terhadap Jennifer Nankumba, 28, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang sarjan polis di Jalan Changkat Bukit Bintang di sini pada 10.45 malam, 19 November lepas.

Ibu dua anak berusia empat dan satu tahun itu meraung selepas mahkamah menjatuhi hukuman terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 19 November.

Ketika rayuan, Nankumba memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung dua anaknya manakala suaminya tidak bekerja. Katanya sebelum ini, dia bekerja sebagai ejen perkapalan dengan gaji yang tidak menentu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang setimpal kerana tindakan tertuduh cenderung kepada keruntuhan akhlak dan mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan awam.

Di mahkamah sama, seorang lelaki warga Yaman mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki dan tinggal lebih masa di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan sosialnya.

Ameen Noman Ali Al-Qadasi, 53, didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang penyelia surau berumur 22 tahun di sebuah bangunan di Jalan Ipoh pada 12.30 tengah hari, 8 Disember tahun lepas.

Tuduhan mengikut Seksyen 377(D) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua, Ameen Noman, pelajar sebuah universiti di sini, didakwa tinggal lebih masa di Malaysia selepas pas lawatan sosialnya tamat tempoh sejak 29 Jun tahun lepas.

Erry Shariman menetapkan 16 Februari ini untuk sebutan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan