KPN Tidak Boleh Dipaksa Tangkap Bapa Mualaf

Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2014 8:45 PM

M. Indira Gandhi.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu memutuskan bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak boleh dipaksa untuk menangkap seorang bapa mualaf dan mengembalikan anak perempuannya kepada bekas isterinya yang beragama Hindu.

Ketika membenarkan rayuan KPN untuk mengetepikan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Ab Rahim memutuskan bahawa mahkamah tidak dapat menguat kuasakan perintah Mahkamah Tinggi itu kerana perkara itu melibatkan perbalahan peribadi.

"Perintah mandamus tidak harus dikeluarkan untuk menguatkuasakan hak peribadi," kata Abdul Aziz.

Dalam penghakiman majoriti 2-1, Abdul Aziz berkata, M. Indira Gandhi belum habis menggunakan semua remedi undang-undang untuk mencari bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah dan anaknya.

"Dia tidak menghubungi bailif mahkamah untuk mencari anaknya," katanya yang mendengar rayuan bersama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Ahmadi Asnawi.

Tengku Maimun, yang membuat keputusan menentang, berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak tersilap dalam mengeluarkan perintah mandamus itu.

Pada 12 September lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh Indira Gandhi untuk perintah mandamus bagi memaksa Khalid menangkap Mohd Ridhuan dan mengembalikan anak perempuan mereka, Prasana Diksa, 6 tahun kepada dia.

Pada 2009, Mahkamah Syariah di Ipoh memberi kepada Mohd Ridhuan, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana, 6, selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada Indira Gandhi hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak mereka dan Mohd Ridhuan diarah untuk mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada 30 Mei, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Ridhuan kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia berulang kali gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada ibu kanak-kanak itu.

Indira Gandhi juga memperoleh perintah mendapatkan kembali dari Mahkamah Tinggi untu memaksa polis mengesan Muhammad Ridhuan.

Panel hakim yang sama menolak rayuan yang dikemukakan oleh seorang bapa mualaf Izwan Abdullah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sivil Seremban yang memberi hak penjagaan dua anak mereka kepada bekas isterinya yang beragama Hindu, S. Deepa.

Izwan yang sebelum ini dikenali sebagai N.Viran, merayu terhadap perintah itu yang dikeluarkan pada 7 April tahun ini yang memberi hak penjagaan anak perempuan, Sharmila, 9 tahun dan anak lelaki, Mithran, 6 tahun kepada ibu mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, Abdul Aziz memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkahwinan sivil apabila satu pihak telah memeluk agama Islam.

Hakim berkata apa yang Mahkamah Syariah boleh lakukan ialah untuk mengesahkan pembubaran perkahwinan tersebut.

"Mahkamah Syariah hanya boleh mengesahkan pembubaran perkahwinan akibat penukaran agama," kata Hakim Abdul Rahim. 

Beliau kemudian mengarahkan Izwan membayar RM10,000 sebagai kos.

Panel hakim juga menolak rayuan Izwan terhadap perintah mendapatkan kembali yang diperoleh oleh Deepa dari Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan polis mengesan anak lelakinya, Mithran yang berada bersama Izwan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Izwan bagi penangguhan pelaksanaan perintah itu dalam tempoh tiga minggu sementara memohon kebenaran untuk menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

Hakim Abdul Aziz memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi boleh mengeluarkan perintah mendapatkan kembali dan ia boleh mengeluarkan perintah yang perlu mengikut undang-undang.
Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut agama Hindu.

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama ketiga-tiga kanak-kanak itu tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan seterusnya memperoleh perintah dari Mahkamah Syariah Seremban bagi penjagaan dan kawalan kanak-kanak itu.

Peguam Aston Paiva, mewakili Indira Gandhi, dan Mohd Haniff Katri Abdulla mewakili Izwan sementara peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili Khalid.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan